HULU TERENGGANU 19 Jan.- Walaupun pernah ditertawakan rakan, namun tidak menghakis semangat seorang kakitangan awam, Wahi Muda,56, yang mula mencari kelas untuk belajar mendalami al-Quran, lima tahun lalu.
Kesedaran datang sewaktu mendengar ceramah tentang betapa pentingnya penguasaan al- Quran dalam kehidupan seharian, dibaca, difahami untuk diambil iktibar, dan setelah menyedari betapa ceteknya ilmu, dia tidak merasa belum terlewat untuk berbuat demikian.
“Saya mencari kelas untuk belajar mengaji, terutama sekali untuk membetulkan makhraj, juga tajwid, dan saya akhirnya memilih Madrasah Al Ululmiyyah Addiniyah Batu Bersurat Kuala Berang untuk kembali belajar dari bawah.
“Tanpa pengetahuan, memang kita tak sedar ada kesilapan dari tajwid, taranum dan sebagainya. Tetapi apabila membaca di hadapan guru, kita tahu apa yang kurang dan apa yang perlu dibetulkan.
“Syukurlah, rakan yang pernah ketawakan saya kini turut belajar bersama-sama setelah terbuka pintu hatinya untuk mendalami al- Quran,”katanya yang berjaya menamatkan Tahseen Tahap Empat,”ujarnya.
Wahi merupakan antara 67 orang menerima sijil dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi Pengajian Tahseen Al Quran Hulu Terengganu (PETAH) kali kedua di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.
Bagi seorang suri rumah, Hasmah Abu Bakar ,57, yang turut mempunyai lima orang cucu, dengan dorongan suaminya, Abdul Rahman Hassan,74, dia mula mendalami tahseen al- Quran sejak lima tahun lalu.
Dia yang telah khatam al-Quran sebanyak 20 kali sepanjang mengikuti kelas tahseen masih meneruskannya kerana merasakan dirinya masih dalam proses belajar walaupun sudah menjadi guru Kelas Agama dan Fardhu Ain( KAFA) sejak tahun 1981.
“Dalam kelas, makcik belajar menghayati bacaan, cuba memahami betapa pentingnya makna tafsiran surah-surah tersebut. Selain itu dapat belajar tentang kesan yang timbul sekiranya sebutan tidak betul kerana akan membawa maksud yang berbeza,” katanya.-UTUSAN ONLINE
KOMEN