KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan untuk tidak mengiktiraf fahaman Syiah sebagai satu daripada sektor ajaran Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, menurut fatwa yang telah diwartakan, Syiah adalah satu fahaman yang tidak diiktiraf.
“Saya telah menerima maklumat mengenai kempen pemberian kuih donat secara percuma yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyebaran fahaman Syiah berlaku semalam.
“Kita akan mengadakan satu pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Seminar Kebangsaan: Isu dan Cabaran Dalam Hubungan Masyarakat Majmuk di Malaysia yang berlangsung di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini .
Sementara itu, Pengarah Jawi, Mohd, Ajib Ismail berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan berterusan selepas menerima aduan daripada orang ramai melalui laman sosial semalam.
Menurut Mohd. Ajib, berdasarkan keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak.
“Jadi penyebaran ajaran lain selain ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada penganut agama Islam di Wilayah Persekutuan adalah dilarang,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Ajib berkata, pihaknya memohon pihak yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyebaran fahaman Syiah untuk memberi maklumat kepada Jawi bagi tindakan lanjut. – Utusan Malaysia
KOMEN