KUALA LUMPUR 11 Feb. – Memastikan nyawa bayi yang hendak dilahirkan terjamin merupakanperkara pertama yang perlu diutamakan oleh seorang ibu berbanding menjaga auratnya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkhidmatan doula (pembantu wanita ketika melahirkan) tanpa pemerhatian doktor atau bidan terlatih tidak dibenarkan.
Menurutnya, alasan wanita tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat sepatutnya tidak timbul kerana banyak hospital menyediakan seluar mesra aurat.
“Di samping itu, perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting dari segi maslahat berbanding aurat dalam situasi tersebut.
“Selain itu, sikap menyakini bahawa melahirkan anak di rumah untuk mencontohi Siti Maryam adalah tidak benar sama sekali kerana kejadian itu atas kehendak Allah untuk membuktikan kekuasaan-Nya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bertajuk Bayan Linnas Siri Ke-125: Hukum Menggunakan Khidmat Doula menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. mengesahkan kematian seorang bayi yang baru dilahirkan, disyaki berkaitan dengan khidmat doula di sebuah rumah di Johor Bahru.
Jelas Zulkifli, usaha yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Kata beliau, keadaan itu jelas apabila 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran tahun lalu berbanding 12.9 kematian pada 2016 dan 13.69 kematian, empat tahun lalu (2014).
Tambahnya, masyarakat digesa supaya merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan selamat.
“Melakukan sesuatu yang mencalar atau membahayakan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah,” katanya. – UTUSAN
KOMEN