Home » Langit Terbuka » Tidak berganjak dengan pendirian terhadap LGBT

Tidak berganjak dengan pendirian terhadap LGBT

Malaysia tetap berpegang kepada prinsip sebagai negara yang berdaulat dan Islam, tegas Timbalan Menteri Luar berhubung kenyataan pelakon George Clooney (gambar) tentang isu LBGT - Foto CNN.com

PUTRAJAYA – Malaysia tidak berganjak dengan pendiriannya terhadap lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Demikian penegasan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya terhadap kenyataan pelakon Hollywood, George Clooney yang dikatakan memberi amaran kepada Malaysia dan Indonesia berhubung pelaksanaan undang-undang anti-LGBT seperti Brunei.

“Kita kena pegang kepada prinsip kita sebagai negara yang berdaulat dan Islam,” kata Marzuki kepada pemberita di sini.

Mac lalu, Clooney dilaporkan telah menggesa tindakan boikot terhadap sembilan hotel milik Brunei kerana membantah negara itu melaksanakan hukuman sebat atau rejam hingga mati kepada golongan gay dan pesalah zina.

Pada 5 Mei lalu, Sultan Brunei melanjutkan moratorium ke atas hukuman mati untuk undang-undang melarang seks sejenis ekoran kritikan global termasuk dari kalangan selebriti seperti Clooney dan Elton John.

Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia menyokong hukuman penalti rejam sampai mati di bawah undang-undang anti-LGBT, Marzuki berkata:”Tidak.”

“Kita akan berpendirian sebagai negara yang memegang prinsip Perlembagaan, Raja-Raja dan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara yang melanggar agama mesti kita tolak,” katanya.

Marzuki turut meminta Clooney ‘menjaga tepi kain sendiri’.

“Saya berpendapat, dia perlu sedar apa yang dikatakannya,” tegas beliau.

Bercakap dalam rancangan bual bicara Amerika Syarikat (AS), Ellen Jumaat lalu, Clooney telah membincangkan berhubung boikot tersebut serta tekanan ekonomi yang menyusul selepas pengumuman undang-undang baharu itu dan tindakan pusing U berkenaan.

Namun begitu, kenyataan Clooney itu telah mengundang tindak balas dalam talian, dengan pengkiritik dan aktivis LGBT serantau menjelaskan perbezaan ketara antara Brunei dan negara-negara jirannya. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *