Home » Citra Yadim » Tiada sumbangan terlalu kecil…

Tiada sumbangan terlalu kecil…

Bismillahirrahmanirrahim

Sahabat-sahabat rakyat Malaysia yang disayangi sekalian,

Musibah Covid 19 yang melanda seluruh dunia tanpa terkecuali negara kita yang dicintai ini sememangnya telah meninggalkan dampak yang sangat mendalam. Tidak sedikit dikalangan kita yang terkesan dari segi ekonomi apabila ada yang hilang mata pencarian atau kurangnya pendapatan isi rumah.

Penjarakan fizikal yang perlu diamalkan oleh kita semua juga telah menyebabkan hubungan sosial sedikit terkesan apabila kita tidak boleh lagi bertamu, beramah mesra serta bersalaman erat sesama sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga.

Ringkasnya Covid 19 ini sememangnya satu musibah yang sangat ditunggu-tunggu pemergiannya.

Namun demikian seperti mana pepatah Inggeris yang menyebutkan “Every cloud has a silver lining”, tidak kurang juga daripada kita yang dapat mengesan sisi positif kesan daripada ujian daripada Allah SWT ini.

Daripada situasi alam sekitar yang menjadi semakin bersih sehinggalah kemahiran memasak dan tatarias kediaman yang semakin meningkat, kesemua ini menguatkan keimanan kita bahawa Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi kita hatta ketika diuji dengan musibah sekalipun.

Di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), kami menjadi saksi betapa musibah yang melanda kita ini membuktikan bahawa kemanusiaan kekal hidup bahkan terus tumbuh segar tanpa mengira sempadan keturunan,agama, kumpulan umur atau apa-apa kategori pembeza.

Umum mengetahui bahawa YADIM giat bergerak menyalurkan bantuan keseluruh negara ketika saat-saat mencabar ini. Bantuan yang disalurkan ini selain daripada dana Kerajaan yang diterima, ia juga datang dari setiap poket rakyat Malaysia yang besar kemungkinan telah melihat betapa gigihnya kakitangan YADIM turun ke seluruh pelosok negara untuk menyalurkan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ini.

Alhamdulillah kami menerima sumbangan daripada pelbagai insitiusi kewangan, badan korporat dan para hartwan yang budiman. Namun yang lebih menyentuh hati kami di YADIM ini adalah apabila terdapat ramai di kalangan penyumbang ini adalah daripada kumpulan yang tidak mempunyai pendapatan yang besar bahkan masih mencari pekerjaan untuk kelangsungan hidup.

Nota yang ditingalkan oleh saudari Syazwani Nasuha ketika menyalurkan dermanya ini sangat-sangat mendidik kami di sini bahawa kita tidak perlu kaya untuk menderma, hanya keluhuran hati dan keimanan bahawa Allah adalah sebaik-baik pengurnia rezeki kepada hambanya yang pemurah.

Begitu juga dengan mesej yang kami terima di ruangan Facebook kami yang dengan penuh kesopanan dan kerendahan diri memohon maaf atas sumbangannya yang dianggap kecil. Kami amat meyakini sahabat yang menderma itu mempunyai keyakinan bahawa walau sebesar zarah kebaikan yang dihulurkan ia pasti tetap akan dihitung besar di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya negara kita ini amat bertuah kerana dikurniakan oleh Allah SWT dengan insan-insan dermawan meskipun bukan hartawan. Kemurahan hati inilah yang menguatkan tekad dan azam kami di YADIM untuk sentiasa bersemangat mengejar kebaikan dan meyebarluaskan mesej kasih sayang yang diajar oleh agama ini kepada semua lapisan masyarakat.

Kepada saudari Syazwani, kami di YADIM mendoakan saudari mendapat pekerjaan yang baik dan menjadi semakin pemurah.

Kepada semua yang telah tampil menghulurkan sumbangan, kami titipkan doa seperti yang diajarkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu “اللهم اعطي لكل منفق خلفا” “ Ya Allah berikanlah kepada orang yang memberikan derma itu ganti” (Muttafaqun Alaih),

Manakala kepada sahabat yang mempunyai keinginan untuk menyalurkan sumbangan, ayuh kehadapan! tiada satu sumbangan yang terlalu kecil dan janji Allah SWT seperti dalam surah Al –Baqarah Ayat 245 “مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

“Siapa yang memberi pinjam kepada Allah dengan pinjaman yang baik, pasti Allah berikan ganjaran kepadanya dengan gandaan yang banyak dan Allah akan mengambil serta melapangkan serta kepadaNya kamu akan kembali’, akan sentiasa benar.

Tuan Kamarul Arief Tuan Soh
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *