PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengancam keharmonian dan keamanan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kestabilan dan keamanan yang dikecapi selama ini perlu dikekalkan sejajar dengan semangat Malaysia Baharu.
“Dalam Malaysia baharu, tiada tempat untuk berita palsu dan penularan mesej bersifat jahat yang menyemai kebencian dalam kalangan agama di negara ini.
“Saya memberi jaminan, kerajaan akan melakukan sedaya upaya untuk mengekalkan keharmonian dan menterjemahkan semangat Malaysia Baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang sempena sambutan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFL) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata rakyat meletakkan harapan terhadap kerajaan baharu dalam memacu negara ke era baharu yang lebih adil.
“Rakyat berbilang kaum dan agama menunjukkan kesepakatan untuk bersama dan menonjolkan kasih sayang kepada negara.
“Malah, perubahan kerajaan pada 9 Mei lalu berlangsung dengan aman tanpa pertumpahan darah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata cadangan untuk mewujudkan Anugerah Adib sebagai tanda penghargaan jasa dan pengorbanan anggota bomba disifatkan amat baik.
“Itu sekadar cadangan dan ia adalah cadangan baik. Walau apa pun, mereka (anggota bomba) yang meninggal dunia adalah ‘hero’ yang perlu dikenang dan diingati,” katanya. – Berita Harian
KOMEN