Home » Langit Terbuka » Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan

Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan

KDN berkata pelaksanaan perekodan butiran agama pada kad pengenalan dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara selaras dengan Peraturan 4 (cc), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990). - Foto KDN

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata tidak ada sebarang rancangan dibuat untuk melaksanakan kajian secara terperinci berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan satu rakaman video dan teks melalui aplikasi WhatsApp, berhubung isu pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

KDN berkata pelaksanaan perekodan butiran agama pada kad pengenalan dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara selaras dengan Peraturan 4 (cc), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990).

Pelaksanaan perekodan butiran Agama Islam di muka hadapan kad pengenalan adalah selaras dengan Jadual Pertama, Peraturan 5(2), PPPN 1990. Manakala, bagi agama selain Islam hanya dimasukkan di dalam cip kad pengenalan,” kata KDN.

KDN berkata tindakan itu selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Butiran agama pada kad pengenalan milik individu beragama Islam adalah salah satu elemen penting yang membantu penguatkuasaan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang syariah yang berkuat kuasa,”kata KDN.

“Kementerian ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita atau maklumat tidak sahih kerana bimbang boleh menimbulkan ketidakselesaan rakyat dan mengganggu ketenteraman dan keamanan negara,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *