KUALA LUMPUR 26 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang, sekiranya India meminta untuk menahan penceramah bebas, Dr Zakir Naik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata setakat ini tiada permintaan yang diterima berhubung perkara berkenaan.
“Saya masih belum menerima apa-apa permintaan daripada pihak berkuasa India. Apa yang ada sekarang ini hanyalah spekulasi di media.
“Jika ada, kita pasti akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang kita ada.
“Kita perlu melihat beberapa aspek, termasuk isu-isu undang-undang dan keselamatan berkaitan dengan kes itu sebelum tindakan dibuat,” katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.
Memetik laporan Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA), ia akan menyerahkan permohonan untuk penangkapan sementara Zakir, yang dipercayai berada di negara ini.
Times of India yang berpangkalan di Mumbai berkata, mengikut perjanjian ekstradisi dengan India, sebaik saja Malaysia menerima permintaan penangkapan, ia perlu mengesahkan lokasi Dr Zakir dan menahannya, sementara menunggu permintaan ekstradisi rasmi.
Awal bulan ini, Interpol menarik semula notis merah ke atas Dr Zakir yang dikemuka NIA.
Media India melaporkan NIA menjelaskan, permohonan itu ditolak kerana ia tidak lengkap dan tidak memfailkan sebarang kertas pertuduhan terhadap Dr Zakir.
NIA dilaporkan berkata akan menghantar permohonan baru kepada Interpol, memandangkan kertas pertuduhan itu difailkan di mahkamah khas di Mumbai bulan lalu.
Penceramah berusia 52 tahun itu dilaporkan didakwa di bawah Akta Pencegahan Keganasan di India kerana dipercayai mengetuai persatuan yang menyalahi undang-undang ,dan didakwa menggalakkan belia menyertai kegiatan keganasan dan kumpulan militan global seperti DAESH.- BERITA HARIAN
<a href=”https://app.senangpay.my/payment/237151296610286″><img src=”https://app.senangpay.my/public/img/pay.png”></a>
KOMEN