KUCHING – Umat Islam di Sarawak dibenarkan menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini di sebalik kebimbangan penularan gelombang kedua Covid-19.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelaksanaannya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan sekretariat Majlis Islam Sarawak (MIS).
“Ia termasuk pendaftaran jawatankuasa pengelola ibadah korban, mendaftar dengan Jabatan Veterinar dan mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Setakat ini belum ada perubahan mengenai SOP ibadah korban dan kita belum menerima apa-apa arahan pembatalan,” katanya selepas melancarkan Khidmat Islam Sarawak (KISWA) 2020 di dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Kuching, pada 24 Julai.
Katanya, sehubungan penganjur ibadah korban diingatkan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Ibadah korban kali ini ada perbezaan terutama membabitkan bilangan peserta namun ia adalh SOP yang perlu dipatuhi,” katanya. – Harian Metro
KOMEN