Home » Langit Terbuka » Tiada hukuman sebat terhadap lesbian di Kelantan

Tiada hukuman sebat terhadap lesbian di Kelantan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, berkata enakmen agama Islam di Kelantan tidak memperuntukkan hukuman sebat ke atas mereka yang disabitkan kesalahan lesbian

KOTA BHARU – Hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah lesbian di negeri ini seperti yang dilakukan di Terengganu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata ini kerana enakmen agama Islam di Kelantan tidak memperuntukkan hukuman sebat ke atas mereka yang disabitkan kesalahan itu.

Katanya, pasangan lesbian hanya boleh dikenakan denda atau penjara jika mereka bersalah melakukan hubungan sejenis.

Bagaimanapun, katanya, sejak 10 tahun lalu belum ada lagi kes lesbian didakwa di negeri ini.

“JAHEAIK tidak menolak kemungkinan terdapat pasangan lesbian di negeri ini tetapi `perbuatan’ atau ‘perhubungan’ itu diadakan secara sembunyi, bukan secara terbuka.

“Golongan ini sudah lama wujud, mereka memilih untuk tidak mendedahkan hubungan kerana bimbang dihidu pihak berkuasa agama negeri. Oleh sebab ini, mereka sukar dikesan pihak berkuasa negeri termasuk JAHEAIK,” katanya.

Mengikut Seksyen 15, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 1985, seseorang perempuan yang dengan sengaja melakukan musahakah dengan perempuan yang lain, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi empat bulan atau kedua-duanya.

Difahamkan pihak berkuasa agama Islam negeri ini sudah membuat pindaan terhadap enakmen berkenaan untuk memasukkan hukuman sebat terhadap pesalah lesbian.

Che Mohd Rahim percaya pelbagai pendekatan pro-aktif yang diambil jabatan itu sejak dahulu lagi berjaya membendung gejala lesbian daripada merebak di negeri ini.

Katanya, pendekatan itu termasuk melakukan pemantauan berkala dari masa ke semasa sama ada oleh jabatan itu sendiri atau bersama agensi penguat kuasa yang lain.

Che Mohd Rahim berkata, pemantauan bukan saja kepada golongan lesbian tetapi juga golongan pondan atau `mak nyah’. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *