PUNCAK BORNEO – Belum ada ancaman kemasukan militan dikesan masuk ke negeri ini, namun polis tetap melaksanakan pemantauan dan risikan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan terjamin.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof berkata, setakat ini tiada maklumat risikan diterima mengenai kemasukan anasir-anasir militan ke negeri ini.
“Kita sudah buat kajian yang mana keselamatan sempadan darat malah air perlu dilihat secara serius, bukan hanya menanti ancaman datang sebaliknya perlu dirancang strategi.
“Kita tidah mahu pencerobohan anasir-anasir itu yang mahu mengugat keselamatan lebih lagi di Sarawak yang luas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) Siri 1/2018 di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL) di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Operasi), Datuk Azizan Abdul Aziz, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi) Bahagian Latihan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam dan Komandan PULAPOL Kuching, Senior Asisten Komisioner Azman Salim.
Seramai 168 pegawai rendah polis (PRP) dari Briged Sabah dan Sarawak PGA mengikuti kursus asas itu secara intensif selama tiga bulan sejak 9 Julai lalu. – Utusan Malaysia
KOMEN