Home » Langit Terbuka » Thailand ingin belajar pengurusan jemaah haji dari Malaysia

Thailand ingin belajar pengurusan jemaah haji dari Malaysia

Baba Abdul (tengah kiri) bersama Syed Saleh (tengah kanan) bersama pegawai masing-masing mengadakan mesyuarat dua hala di Makkah, kelmarin.

Makkah: Melihat kepada beberapa kejayaan yang dicapai oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menguruskan jemaah haji di Tanah Suci Makkah, delegasi Thailand melalui Majlis Hal Ehwal Agama Islam Thailand dan Kementerian Dalam Negerinya, mengunjungi Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, kelmarin.

Ketua Rombongan Ketua Majlis Agama Islam Yala merangkap Penasihat Sheikhul Islam Thailand, Baba Abdul Baziz Chema berkata, ada beberapa aspek pengurusan haji perlu dipelajari daripada Malaysia yang terbukti sudah mencapai beberapa kejayaan dan diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Malaysia disifatkan sebagai abang khususnya dalam kalangan umat Islam di Selatan Thailand kerana mempunyai banyak pengalaman dalam mengendalikan jemaah haji yang harus dicontohi oleh negara itu.

“TH adalah kejayaan umat Islam di Malaysia dan menjadi kewajipan kepada kami untuk mempelajarinya. Saya sangat yakin dengan menimba pengetahuan daripada TH, insya-Allah kita akan dapat menandingi perkara berkaitan pengurusan jemaah haji suatu hari nanti,” katanya lagi kepada Petugas Media Tabung Haji, di Ibu Pejabat TH, di sini kelmarin.

Baba Abdul Baziz mengunjungi pihak pengurusan TH di Ibu Pejabat TH bersama 15 individu lain termasuk dari bahagian Majlis Hal Ehwal Islam Pusat Thailand, Pejabat Kesihatan dan Kementerian Dalam Negari Thailand.

Lembaga Tabung Haji diwakili oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff, Timbalan Ketua Rombongan Haji Perubatan Abdul Marsudi Manah dan pegawai lain.

Antara perkara yang ingin dipelajari termasuk dalam hal sistem tabungan yang diperkenalkan oleh Tabung Haji, aspek pengurusan jemaah dan hal lain yang berkaitan.

“Thailand tidak mempunyai satu badan khusus yang mengawal selia segala urusan jemaah haji sebaliknya hal yang berkaitan diuruskan oleh 88 agensi pelancongan, dengan kos untuk mengerjakan haji sekitar RM40,000 tanpa sebarang subsidi,” katanya.

Menurutnya, disebabkan hanya 7,000 daripada 11,000 kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi mampu menunaikan haji.

Sementara itu Syed Salleh berkata, pihak TH dan pengurusan jemaah haji Thailand bertukar-tukar pandangan dalam soal pengurusan haji.

“Kita lihat ada ruang dan peluang untuk mengadakan kerjasama dan bertukar pengalaman serta pandangan mengenai urusan haji setiap negara supaya prestasi serta kualiti perkhidmatan dapat dipertingkatkan kepada jemaah haji negara masing-masing.

“Sudah tentu setiap negara punyai kelebihan yang boleh dipelajari dan itu yang dijadikan semangat dalam perjumpaan itu,” katanya.

Sebagai permulaan, menurut Syed Saleh pihaknya menjemput Thailand untuk turut serta dalam majlis muzakarah tahunan Tabung Haji yang diadakan setiap tahun bagi persediaan dan penambahbaikan hukum-hakam serta pengurusan haji.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *