ALOR SETAR – Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan ibu bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, untuk menunaikan ibadat Haji pada musim tahun depan.
Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof selepas melawat ibu bapa Allahyarham iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, dan Asma Aziz, 51 di rumah mereka di Kampung Tebengau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, tawaran itu diberikan buat ibu-bapa Allahyarham melalui kaedah tawaran terpilih sebagai satu penghargaan atas pengorbanan dilakukan anak mereka yang terkorban ketika bertugas, bulan lalu.
“Selepas kami periksa akaun TH milik ibu-bapa arwah, kita mendapati mereka berdaftar pada tahun 2009 dan mempunyai senarai tempoh masa menunggu lagi lima tahun.
“Justeru, kita mahu memberikan penghargaan pada ibu-bapa arwah atas pengorbanan dan apa yang mampu kami buat ialah menawarkan ibadat Haji kepada mereka pada musim 2019, ” katanya pada sidang media, di sini.
Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN),17 Disember lalu.
Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil berkenaan pada 27 November lalu.
Katanya, melalui kaedah itu, mereka yang terpilih antaranya pernah melakukan pengorbanan besar seperti mana yang dilakukan Allahyarham sebelum ini.
“Namun dari segi kos keseluruhan dan maklumat lebih lanjut berhubung tawaran Haji itu ia akan dibincangkan kemudian, ” katanya.
Sementara itu, hanya air mata dan tadahan doa kesyukuran mampu diluahkan Asma ketika dimaklumkan mengenai tawaran itu berikutan sudah lama mengimpikan untuk ke Tanah Suci.
“Alhamdulillah…kami dah lama daftar dah..syukur dapat menunaikan Haji, ” katanya.
Mohd Kassim berkata, dia dan isterinya berasa amat bersyukur berikutan menjadi antara insan terpilih dapat menunaikan Haji berikutan semua orang sememangnya mengimpikan peluang ini.
“Seronok…tawaran ini semua orang mendaftar dan semua orang menunggu-nunggu perkara ini…ada hikmah setiap apa yang berlaku, ” katanya.- Berita Harian
KOMEN