KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan institusi itu mengagihkan kuota tertentu kepada pihak swasta atau Pengendali Jemaah Haji (PJH).
TH meminta orang awam untuk tidak menyebarkan berita palsu atau belum dipastikan kesahihannya yang boleh mencetuskan keresahan masyarakat
“Sepertimana yang telah diketahui ramai, kuota haji berjumlah 31,600 yang telah diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah mengikut sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” yang dilaksanakan sejak dari tahun 1995.
“Apabila bakal jemaah sudah terpilih di dalam kuota tahunan, mereka boleh memilih samada ingin menunaikan ibadat haji melalui TH (Muassasah) atau melalui syarikat-syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH.
“Bakal Haji yang memilih syarikat PJH adalah mereka yang berkemampuan untuk membayar lebih dari kos haji bagi mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dari Muassasah,” kata kenyataan TH hari ini.
Dakwaan TH hanya mengendalikan 11,000 jemaah pada tahun ini juga tidak benar kerana majoriti jemaah haji atau sekitar 70 peratus hingga 80 peratus adalah melalui Muassasah.
Syarikat PJH pula membuat bayaran kepada TH bagi setiap jemaahnya untuk perkhidmatan dan kemudahan di Tanah Suci termasuk bayaran wajib yang dikenakan oleh pihak Arab Saudi.
“TH menasihati orang ramai agar untuk tidak mudah percaya dengan berita palsu yang tular di media sosial.
“Bakal jemaah Haji Malaysia dinasihatkan untuk rujuk kepada platform media sosial rasmi TH bagi mendapatkan maklumat yang sahih, tepat dan terkini,” kata TH. — AlHijrah Online
KOMEN