Home » Langit Terbuka » TH mahu terus tingkatkan keberkesanan program ‘fast track’

TH mahu terus tingkatkan keberkesanan program ‘fast track’

Tabung Haji percaya keberkesanan program pelepasan segaranya di Madinah mampu ditingkatkan lagi

 

MADINAH – Kejayaan program ‘fast track’ atau pelepasan segera di terminal kemasukan jemaah haji Malaysia yang diperkenalkan tahun ini, tidak bermakna Tabung Haji (TH) sudah berpuas hati dan menganggap segala-galanya kini sempurna.

Hasil ‘post morterm” dilakukan setakat ini, TH percaya proses kemasukan jemaah haji Malaysia boleh dipercepatkan lagi sehingga 30 minit atau kurang daripada itu.

Pengurus Terminal Madinah Mohd Razali Zakaria berkata, tempoh 30 minit atau kurang itu adalah sesuatu yang realistik dan mampu dilaksanakan hasil perancangan rapi dan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, setakat ini tempoh paling cepat bagi proses bermula daripada jemaah keluar daripada pesawat hingga menaiki bas untuk ke hotel ialah 45 minit.

“Kita merancang untuk mengurangkan tempoh masa itu dengan melaksanakan beberapa inisiatif (mengikut keadaan). Sebagai contoh, pada awalnya kita rancang menggerakkan jemaah mengikut nombor bas. Tapi, berdasarkan keadaan kita terus tukar strategi dengan mengarahkan jemaah menaiki mana-mana bas. Apabila bas sudah penuh, ia segera meninggalkan terminal.

“Dengan pendekatan seperti ini, saya percaya kita dapat meningkatkan lagi prestasi kita untuk melancarkan lagi pergerakan jemaah dari terminal,” katanya dalam sidang media dengan wartawan Malaysia.

Sejak ketibaan penerbangan pertama pagi Sabtu lalu sehingga Selasa malam, sudah 10 penerbangan membawa jemaah haji Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, membabitkan hampir 10,000 jemaah.

Malaysia adalah negara pertama yang diberi keistimewaan oleh Arab Saudi untuk melaksanakan perkhidmatan pelepasan segera itu di mana urusan imigresen kedua-dua negara dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain Malaysia, keistimewaan sama turut diberikan kepada jemaah haji dari Indonesia, namun kemasukan jemaah dari negara jiran itu hanya akan bermula pada Sabtu (21 Julai) ini.

Razali berkata, ketibaan jemaah dari Indonesia kelak, mungkin akan memanjangkan sedikit proses pelepasan jemaah haji dari Malaysia, namun pihaknya dan pihak berkuasa Arab Saudi sudah bersedia dan mengambil langkah perlu untuk menghadapinya.

“Pihak berkuasa di Madinah sudah memberi jaminan akan bantu jika berlaku kesesakan di terminal untuk percepatkan proses jemaah haji kita keluar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya tidak akan berlaku perubahan yang ketara dan tempoh kurang daripada satu jam untuk pelepasan jemaah haji Malaysia dari terminal masih boleh dicapai. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *