Mohd Na’im berkata, pengelola jemaah haji, sama ada sudah diberikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) TH atau belum menerimanya, diingatkan mengenai tanggungjawab untuk melaksanakan amanah sebaik mungkin bagi individu yang memang benar-benar berhasrat menunaikan haji dan umrah.

Menurut beliau, pihaknya sedih dan terkilan kerana ada juga syarikat tidak bertanggungjawab mengambil peluang daripada keinginan masyarakat yang begitu tinggi untuk menunaikan haji dan umrah, dengan melakukan penipuan.

Ujarnya, beliau juga sudah bercakap dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali untuk kedua-dua pihak berbincang.

“Kita (pihak saya dan Armizan) mahu lihat ruang dan peluang bagaimana penguatkuasaan terhadap mereka yang menipu dalam pakej haji serta umrah ini, boleh dihukum, dibawa ke muka pengadilan.

“Manakala, bagaimana bakal haji dan umrah yang ditipu akan mendapat hak mereka itu semula, sama ada boleh menunaikan haji atau umrah ataupun duit mereka ini dipulangkan kepada mereka semula,” jelasnya.

Terdahulu, dalam laporan media, Mohd Na’im dipetik berkata, sejumlah 25 syarikat pelancongan tempatan yang diberikan lesen PJH akan meneruskan tawaran Pakej Rahmah untuk jemaah dengan harga di bawah RM50,000.

Kadar itu, katanya, adalah munasabah dengan mengambil kira kos haji semasa yang terus meningkat.

Malah, beliau berkata, TH sudah meminta supaya semua PJH mengadakan Pakej Rahmah seperti tahun lalu dan mereka menyambut baik untuk meneruskan tawaran tersebut untuk kali kedua.

Pendekatan itu, katanya, adalah sebagai inisiatif TH dalam membantu bakal haji menunaikan rukun Islam Ke-5 berkenaan dengan menyediakan pakej pada harga munasabah. – MalaysiaGazette