Home » Langit Terbuka » Terus pelihara Islam di Johor

Terus pelihara Islam di Johor

Mohamed Khaled (empat, kiri) menyerahkan plag gimik pecah tanah Sekolah Agama Kerajaan Johor kepada Guru Besar Sekolah Agama Bekoh Belading, Tangkak.

 

TANGKAK 22 Jan.  – Kerajaan Johor akan memastikan kepentingan Islam di negeri ini terus terpelihara sebagai usaha untuk memastikan rakyatnya akan kekal utuh dengan pegangan agama persekutuan itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa menitik berat pembangunan serta kemajuan berteraskan Islam termasuk memberi penekanan terhadap pembinaan sekolah-sekolah agama.

“Mengapa kita memperluas dan meningkatkan lagi peranan sekolah agama ini, kerana sekolah agama merupakan instrumen kita dalam memberi pendidikan Islam kepada rakyat Johor.

“Sumbangan paling besar sekolah agama kepada rakyat Johor adalah sifat kesederhanaannya. Bolehkah kita bayangkan kalau umat Islam itu tiada didikan agama, tak sempurna atau tak dapat daripada sumber yang tidak disediakan secara berstruktur daripada kerajaan? Ini yang biasa menyebabkan timbulnya elemen-elemen yang tak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5 di Dataran Bestari, Kampung Sagil, Parit 3, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri yang juga merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar; Exco Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Abd Razak Mohd Yusoff.

Menurut beliau, pendapat beberapa pihak khususnya golongan liberal yang menganggap agama Islam tidak berupaya membawa kemajuan di sesebuah negara disangkal.

“Saya sangkal apa yang sesetengah pihak liberal katakan iaitu Islam tidak bantu bawa kemajuan atau Islam membantut kemajuan dan sebagainya. Seperti yang disebut Marina (Datin Paduka Marina Mahathir) dan Hisham (Hishamuddin Rais). Memanglah hak mereka, tapi adalah sangat malang mendengar kenyataan seseorang seperti Hisham yang mengatakan dia dilahirkan dalam Islam, tapi dia bukan Islam.

“Jadi kita tak mahu itu berlaku di Johor. Kita akan jaga dan pelihara. Malah, kita juga amat jelas mengenai perkara ini. Kita akan terus hormati hak agama, kebebasan kaum-kaum lain dan penerimaan kita kepada kaum lain sebagai bangsa Johor,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *