Home » Ensiklopedia » Terrorisme

Terrorisme

sumber

Terrorisme adalah satu bentuk ideologi atau fahaman keganasan yang menghantui masyarakat dunia  abad ini. Kumpulan pengganas dan rangkaiannya bertebaran di seluruh dunia. Harun Yahya, tokoh Muslim terkenal dari Turki menyebut terdapat hampir 500 kelompok pengganas di dunia dan ada di antaranya mempunyai jaringan antarabangsa yang luas. Kumpulan terbabit mempunyai pelbagai agenda yang dikaitkan dengan perjuangan agama, kaum dan politik yang  mampu mengancam perdamaian dan keamanan dunia.

Terrorisme sudah lama wujud

Walaupun terrorisme merupakan aktiviti yang telah lama wujud dan istilah terbabit telah mula digunakan pada abad ke-18, namun perbahasan mengenainya mula menjadi fokus dalam arena politik antarabangsa selepas berlakunya tragedi serangan pengganas ke atas World Trade Centre (WTC) New York dan Pentagon pada 11 September 2001. Ia adalah peristiwa dan hari yang dianggap sebagai ’the day of infamy’ sehingga mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W. Bush mengisytiharkan ’perang terhadap keganasan’.

Definisi terrorisme

Agak sukar untuk mendefinisikan terrorisme secara tepat kerana ia berkaitan  dengan pelbagi aspek seperti sosiologi, psikologi, politik, kriminologi dan agama. Pada asasnya, terrorisme dikaitkan dengan tindakan keganasan, kekerasan dan intimidasi (ancaman) yang dilakukan secara terancang oleh kumpulan pengganas dengan tujuan menimbulkan ketakutan dan ketidaktenteraman awam.

Jabatan Pertahanan AS mendefinisikan terrorism sebagai suatu penggunaan kekerasan atau ancaman kekerasan yang tidak sah menurut undang-undang yang bertujuan untuk menanamkan rasa ketakutan  dengan cara memaksa atau mengugut (intimidasi) pemerintah atau masyarakat untuk tujuan mencapai matlamat atau tujuan politik, agama atau ideologi tertentu.

Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika mendefinisikan terrorisme sebagai penggunaan kekuatan yang tidak legal demi mencapai tujuan politik, sementara manusia yang tidak berdosa menjadi sasarannya.

Kesan kepada kemanusiaan

Keganasan menimbulkan kesan negatif  terhadap  kemanusiaan kerana akibat dari aktiviti dan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas sering mengorbankan nyawa serta kemusnahan harta benda  yang cukup besar. Biasanya korban keganasan membabitkan orag awam yang tidak berdosa. Malah, ia meninggalkan kesan psikologi yang mendalam seperti trauma kepada mangsa. Negara juga boleh berada dalam dilema keselamatan dan ketidaktenteraman kesan daripada onar yang dilakukan oleh kumpulan terrorisme.

Pembahagian keganasan

Pengkaji Barat cenderung membahagi keganasan  kepada dua bentuk, iaitu  ’keganasan suci’ dan  ’keganasan sekuler’.  ’Keganasan suci’ dikaitkan dengan keagamaan (religious terror) yang berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap nilai-nilai keagamaan sehingga menumbuhkan fanatisme atau ketaasuban yang melampau dalam kalangan pengikut dan pedukungnya. Seringkali juga keganasan jenis ini berasaskan kepada pemujaan atau pendewaan terhadap seorang pemimpin yang di sucikan.

Keganasan sekular  pula diidorong oleh tujuan politik, ideologi dan kekuasaan. Perjuangan kumpulan-kumpulan tertentu dalam  memperjuangkan autonomi wilayah adalah tergolong dalam kumpulan ini. Termasuk juga keganasan jenis ini ialah state terror, iaitu keganasan ynag dilakukan oleh sesbuah negara ke atas negara lain.

Ada juga ‘state terror’ yang ditegakkan di atas nama pembinaan negara bangsa seperti negara haram Zionis di bumi Palestine. Sejak tahun 1948 hingga kini, Zionis melakukan banyak siri keganasan yang sudah mengorbankan ratusan ribu nyawa rakyat Palestine.

Keganasan suci tak sama konsep jihad

Namun, perlu dinyatakan di sini bahawa ‘keganasan suci’ tiada kena mengena dengan konsep jihad dalam Islam. Usaha Barat atau golongan orientalis untuk menyamakan terrorisme dengan konsep jihad dan Islam fundametal  yang berjuang memerdekakan tanah air mereka dari penjajahan kuasa kufar seperti yang berlaku di Palestine adalah satu usaha ahat untuk memburukkan Islam.

Jihad berasal dari perkataan `jahada’  yang bermakna  menggunakan segala daya upaya (usaha) dengan penuh kesungguhan untuk memperjuang atau mendapatkan sesuatu. Usaha membangunkan ekonomi ummah secara bersungguh-sungguh adalah merupakan satu jihad.

Namun, jihad menurut definisi syariah membawa makna menentang musuh-musuh Islam di medan pertempuran dengan tujuan menegakkan kalimah Allah serta menghapuskan segala rintangan terhadap dakwah Islamiah. Matlamat dan sasaran jihad adalah jelas.

Sebaliknya, terrorism atau perjuangan pengganas yang penuh kekeliruan, kecelaruan dan seringkali berasaskan tafsiran yang menyimpang dari ajaran agama yang sebenar.

Tujuan politik

Kajian dan siasatan mendapati bahawa terrorisme melihat tindakan keganasan sebagai satu-satunya cara untuk mencapai tujuan politik. Di mata pengganas, dilema politik dan konflik hanya dapat diselesaikan dengan cara keganasan.

Ancaman pengganas boleh menyebabkan  keamanan dan keselamatan nasionalnya terancam. Kehidupan masyarakat menjadi terganggu dan kebebasan hak asasi turut diragut. Ia mengganggu ketenteraman awam serta mengancam keselamatan jiwa dan harta benda.

Kedahsyatan tindakan pengganas memang sukar dibayangkan. Apa tidaknya, dengan hanya dengan satu ledakan bom yang disembunyikan di celah-celah bangunan  atau di badan pengganas boleh meragut puluhan atau ratusan nyawa serta kecederaan parah ke atas orang awam selain memusnahkan harta benda dalam sekelip mata.

Internet jadi medan sebar pemikiran keganasan

Sayugia diingat di era teknologi maklumat (ICT) ini, pemikiran keganasan boleh disebarkan melalui internet.  Kemunculan ‘pengganas siber’ ini sudah menjadi satu trend yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Contohnya, semasa isu ‘BERSIH 2.0’ dulu, ada dalam kalangan pengamal  media sosial yang berfikiran ganas menyarankan semua polis dibunuh kerana kononnya polis melakukan kekejaman terhadap demonstran. Ini satu saranan atau pandangan yang berupa hasutan yang sangat jahat.

Walaupun ianya adalah pemikiran yang datang secara individu, namun ia  berupaya mendorong tingkah laku ganas kepada mereka yang terpengaruh seruan jahat seperti itu.  Malah tidak mustahil dari pemikiran ganas individu yang disebarkan melalui internet itu berkemungkinan akan mewujudkan kumpulan pengganas terancang yang membahayakan keselamatan negara.

II

AKTA BARU SEKAT GERAKAN MILITAN
 Gerakan Kesederhanaan Global (GMM)

Hakikatnya, pemikiran dan tindakan keganasan  sudah menjadi ancaman global yang membimbangkan masyarakat dunia hari ini. Mana-mana negara berpotensi untuk terdedah kepada ancaman pengganas termasuk negara kita. Justeru, menyedari kesan buruk suara dan tindakan kumpulan ekstrem itulah maka Datuk Seri Najib Tun Razak mengetengahkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2011.

GMM berusaha mengetengahkan suara kesederhanaan bagi menenggelamkan suara ekstremis yang pada hakikatnya  hanyalah suara minoriti tetapi mempunyai kesan buruk terhadap masyarakat global. Justeru, GMM diilhamkan Najib itu bertujuan untuk melawan dan menyisihkan golongan pelampau dan pengganas yang menjadi ancaman kepada kedamaian dan keselamatan dunia hari ini.

Ancaman kumpulan militan

Malaysia sendiri pernah berhadapan dengan beberapa ancaman kumpulan militan dan pelampau agama. Tentu rakyat tidak lupa dengan kes kumpulan al-Ma’unah pada Jun 2000 yang nekad melakukan pencerobohan ke atas kem Rejimen Askar Wataniah  dan melarikan sejumlah besar senjata api. Mereka mendirikan kubu rahsianya di kawasan hutan di Sauk, Perak. Kumpulan militan itu akhirnya ditewaskan dalam pertemuran dengan tentera dan polis.

Kumpulan ekstremis lain yang pernah mengemparkan negara ialah Al-Arqam, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Jemaah Islamiah (JI) dan Daulat Islamiah (DI). Pada Jun 2010, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hassan  mendedahkan wujudnya cubaan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) yang aktif merekrut golongan muda di negara ini termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut  mengesan kehadiran beberapa pemimpin kanan Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) yang cuba menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan dan pengkalan logistik mereka. Mujurlah pasukan keselamatan kita dapat mengesan awal pergerakan mereka dan langkah pencegahan dapat dilakukan segera.

Pendedahan itu membuktikan bahawa memang ada usaha pengganas antarabangsa untuk menjadikan negara kita sebagai tempat operasi aktiviti mereka. Justeru, apakah persediaan negara bagi berhadapan dengan sebarang bentuk ancaman golongan pengganas yang mahu mencapai agenda jahat mereka itu. Untuk bergantung kepada undang-undang sedia ada adalah tidak mencukupi.

Undang-Undang Kesalahan Keselamatan

Justeru, langkah kerajaan memperkenalkan Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 adalah bertepatan dengan senario keganasan global hari ini. Akta terbabit sudah pun diluluskan Dewan Rakyat  pada 17 April lalu bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Undang-undang baharu itu  berbeza dan tidak boleh disamakan dengan undang-undang jenayah biasa.

Kewujudan akta baharu itu adalah berasaskan kepada  Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah bertujuan  menyekat kumpulan keganasan seperti militan atau individu yang bertindak sewenang-wenangnya mengancam nyawa dan harta benda mana-mana individu atau lokasi sasarannya.

Di bawah undang-undang itu, kesalahan yang dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan merangkumi keganasan terancang terhadap orang dan harta benda, membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta melakukan percubaan dengan cara yang tidak sah, iaitu bertentangan dengan perlembagaan dan demokrasi.

Berbeza dengan ISA

Bagaimanapun akta baharu itu berbeza dengan ISA, iaitu ia mengandungi elemen mengimbangkan antara hak asasi manusia dan kepentingan keselamatan Negara. Antaranya, akta baru itu mengehadkan seseorang yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan ditahan untuk siasatan selama 28 hari, berbanding 60 hari di bawah ISA.

Selepas tempoh tahanan siasatan itu suspek akan dibawa ke mahkamah untuk diadili atau dibebaskan sekiranya tiada bukti kukuh untuk mendakwanya. Malah, individu yang ditahan di bawah undang-undang baru itu boleh mencabar penahanan mereka di mahkamah.

Di bawah ISA suspek boleh ditahan selama dua tahun lagi melalui kuasa yang diberi kepada Menteri Dalam Negeri tanpa melalui mahkamah. Jelas sekali akta baharu itu lebih adil berbanding akta keganasan yang dilaksanakan di AS yang membenarkan pihak berkuasa  menahan individu yang disyaki pengganas tanpa bicara.

Agenda jahat hancur negara

Apa pun rakyat seharusnya peka dengan persoalan mengenai keselamatan negara. Rakyat tidak seharusnya terperangkap dengan sebarang organisasi militan atau kumpulan pengganas dan ekstremis yang mempunyai agenda jahat untuk menghancurkan negara. Sering kali kumpulan-kumpulan sebegini dibantu oleh pertubuhan-pertubuhan asing melalui penyaluran dana bagi membiayai aktiviti mereka.

Malah, kemungkinan ada juga organisasi yang pada mulanya menampak aktiviti perjuangan kemanusiaan tetapi akhirnya ia menjadi racun kepada negara kerana di sebalik perjuangannya itu ia dibiayai oleh organisasi atau individu asing yang mempunyai agenda jahat terhadap negara kita.

Sumber daripada https://pmr.penerangan.gov.my/

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *