Oleh WARTAWAN DAKWAH
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diserang lagi. Kali ini, oleh Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang menyatakan badan penyelaras agama Islam itu tidak berperlembagaan dan hanya memenuhi aspirasi politik pihak berkepentingan. Terdahulu, Jakim disarankan agar dimansuhkan kerana dikatakan mencampuri urusan hidup rakyat. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Tawfiq Ismail, anak sulung kepada Tun Dr Ismail Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada era kepimpinan Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak.
Jakim juga pernah dituduh terlibat dengan aktiviti pengganas, keterlaluan dan membahayakan toleransi antara sesama kaum oleh seorang peguam bernama Eric Paulsen menerusi catatan Twitter miliknya.
Hakikatnya, penubuhan Jakim membawa maksudnya tersendiri. Penubuhannya bermula dengan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 1968 dan telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja. Penubuhan MKI telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dengan Perdana Menteri diberi bertanggungjawab sebagai Pengerusi, manakala Unit Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) berfungsi sebagai urus setianya.
Penubuhan Jakim dilihat sebagai salah satu platform di dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam seiring dengan perkembangan dan pembangunan negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Semenjak dari awal lagi, penubuhan Jakim menepati semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
Malah, kewujudannya diakui penting bagi menyelaras hal ehwal Islam dalam mendepani pelbagai ancaman yang menggugat kedudukan agama itu di negara ini.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Jakim adalah agensi yang berperanan dalam perancangan, pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan umat di Malaysia dan penubuhannya memenuhi hasrat Majlis Raja-Raja yang melihat keperluan diwujudkan satu agensi yang menyelaras terutama dalam berhadapan pelbagai cabaran berbentuk ancaman, ekstremisme sama ada radikalisme ataupun golongan yang memperlonggar agama (Berita Harian, 20 November 2015).
Asyraf juga berkata dengan 14 buah negeri dengan sembilan Sultan, sudah tentu wujud pelbagai pendekatan keagamaan, Islam dan sebagainya yang memerlukan badan khas yang menyelarasnya.
Tidak dapat tidak, hati telah berdetik; dengan cubaan demi cubaan berterusan dalam memfitnah, meremahkan dan merosakkan kreadibiliti Jakim khasnya dan agensi dan institusi agama di negara ini khususnya seolah-olah adanya ‘usaha terancang’ pihak-pihak tertentu yang bertujuan merosakkan dan mencemarkan agama Islam itu sendiri, kerana jika jatuhnya institusi-institusi agama yang menjaga, mempertahankan, dan mengembangkan agama Islam di Malaysia ini, maka dengan sendirinya ia pasti akan turut menjejaskan perkembangan Islam di Malaysia.
Melihat kepada senario ini, penulis sangat berharap semua pihak dapat menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan agar keamanan dan keharmonian yang dikecapi berkekalan. Terimalah hakikat bahawasanya penubuhan Jakim khasnya dan institusi agama Islam khususnya tidak menyalahi undang-undang kerana Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menghalang memberi penerangan atau pendedahan tentang ajaran Islam.
Segala fitnah dan tuduhan – “tidak berperlembagaan, perlu dimansuhkan dan menganjurkan aktiviti keganasan dan ekstremisme” adalah sangat keterlaluan dan tidak lain hanya berniat serong. Terimalah hakikat bahawasanya negara yang tercinta ini adalah sebuah negara Islam. Perlembagaan Negara sejak ditubuhkan telah termaktub dalam Perkara 3 (1) bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Terimalah hakikat bahawasanya tiada siapa berhak mempersoalkan dan mempertikaikan perkara ini.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian beragama dan berbilang kaum, sewajarnya kita berlapang dada dalam menilai sesuatu isu yang dibangkitkan khususnya oleh media dan akur dengan undang-undang tertinggi negara – Perlembagaan Persekutuan.
Kepada Jakim dan institusi agama lain, penulis berdoa semoga mereka tergolong dalam golongan yang tetap teguh mempertahankan agama Allah SWT seperti sabda Rasulullah SAW: “Sentiasa akan ada segolongan daripada umatku yang tetap teguh di atas kebenaran, tidak akan memudaratkan mereka sesiapa yang menyalahi mereka, sehingga datangnya urusan Allah (hari kiamat), bahkan mereka tetap dalam keadaan sedemikian (tetap teguh mempertahankan agama Allah).” (HR Muslim) – ABABIL
KOMEN