JELUTONG – “Saya tidak sangka rakyat Malaysia pemurah seperti ini. Meskipun berbeza agama tapi masih mahu bantu saya”
“Terima kasih YADIM, saya hampir putus asa, tetapi sumbangan dan pertolongan semua bantu saya kuatkan semangat,”kata Magdalena Herkules Manalu,39 ketika menerima sumbangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 5 Februari.
Kisah Magdalena yang hidup dalam kesusahan dan terpaksa menyara keluarga dengan mencari barangan terpakai di tong sampah tular di media pada 4 Februari.
Lebih malang, wanita ini juga sedang hamil tujuh bulan dan sendirian menjaga dua anaknya yang berusia tiga dan sembilan bulan serta suaminya,Choong Nak Fatt, 44 yang lumpuh akibat angin Ahmar.
Ekoran itu, Magdalena tidak dapat meninggalkan suaminya dengan lama di kediaman mereka, selain perlu menyedut kahak suaminya setiap tiga jam.
Segera memberi respon dengan penderitaan Magdalena, YADIM bertolak ke Pulau Pinang untuk menyampaikan bantuan kepadanya.
Antara yang disumbangkan ialah barangan keperluan harian, lampin pakai buang dan susu untuk suaminya serta sedikit wang tunai.
Turun padang ke Pulau Pinang ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan.
Magdalena ketika menerima sumbangan tidak henti henti mengucapkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkannya.
“Saya tidak tahu rakyat Malaysia akan tolong saya seperti ini, saya sangat terharu, berbanyak terima kasih pada semua yang menolong saya,”ujarnya yang tidak henti mengalirkan air mata.
Sementara itu, Tuan Kamarul Arief berkata, pihaknya terpanggil membantu Magdalena selepas mendapat tahu penderitaan yang dialaminya menerusi media.
“Kami segera putuskan untuk sampaikan bantuan, selaras dengan apa yang sering ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri agar agensi di bawah beliau supaya pantas dan cakna dengan keperluan rakyat”.
“Ini juga sebenarnya satu tugas dakwah yang YADIM sampaikan pada semua,” ujar beliau.
KOMEN