KUALA TERENGGANU 11 April – Terengganu menawarkan tapak bagi penubuhan sebuah Universiti al-Quran sebagaimana terkandung di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Terengganu memang berhasrat mewujudkan universiti seumpama itu yang pertama di dunia dengan rancangan untuk menaik taraf Kolej al-Quran Terengganu (KQT) yang beroperasi di Padang Midin dekat sini.
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan khusus melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mempercepat proses menaik taraf menjadi sebuah universiti berkonsep wakaf kelak.
Beliau menjelaskan, selain memperkenalkan konsep wakaf sebagaimana Universiti Al-Azhar di Mesir, kewujudan Universiti al-Quran itu juga akan mengembalikan kegemilangan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dalam tradisi ilmu agama yang pernah wujud suatu ketika dahulu.
“Memang lama sebut dan rancang ke arah Universiti al-Quran yang akan kita laksanakan mengikut konsep wakaf, oleh itu tidak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) Ke-39 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2017 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Pengarah YT Ishamudin Hashim serta Pengarah Pendidikan negeri, Syafruddin Ali Hussin.
Ahmad Razif berkata, Terengganu belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada KPT kerana memerlukan empat atau lima tahun untuk dinilai selepas mendapat taraf sebagai sebuah kolej universiti.
“Tetapi saya nak buat permohonan fast track dengan syarat KQT mesti tunjukkan prestasi atau pencapaian terbaik dan kita sedang tunggu keputusan atau kejayaan yang akan dicipta,” ujarnya.
Ahmad Razif berkata, pada masa ini, KQT beroperasi di kampus sementara di Padang Midin dan disebabkan semakin sesak, sebuah lagi kampus sementara akan diwujudkan di Rusila dengan menyewa premis Pusat Latihan Telekom di situ.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membeli Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) di Kuala Berang, Hulu Terengganu melibatkan kos RM30 juta untuk dijadikan kampus tetap KQT kelak.- UTUSAN
KOMEN