Home » Langit Terbuka » Terengganu kaji sedia laluan khas untuk wanita di jabatan kerajaan

Terengganu kaji sedia laluan khas untuk wanita di jabatan kerajaan

KUALA TERENGGANU, 21 Okt. – Kerajaan Terengganu akan mengkaji menyediakan laluan berasingan bagi lelaki dan wanita di jabatan kerajaan di negeri itu untuk memudahkan wanita berurusan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata langkah itu adalah satu daripada pembaharuan kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan agenda Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

“Ini (laluan berasingan) sangat bagus untuk memberi kemudahan kepada wanita. Kita akan buat dua laluan terutama di pejabat kerajaan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Ia tidak ada masalah untuk dilaksanakan dan ini boleh diterjemahkan dalam TTB,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di sini semalam.

Beliau mengulas usaha beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan kaunter laluan khas untuk wanita tanpa perlu mengambil nombor giliran selama tiga hari mulai Selasa lalu dan berakhir hari ini.

Sejak menjadi Menteri Besar, Ahmad Razif menggunakan pendekatan yang lebih Islamik dalam pentadbirannya seperti menutup pusat beli-belah pada jam12 tengah hari hingga 2 petang setiap Jumaat serta mencegah lelaki dan perempuan yang bukan muhrim membonceng motosikal.

Dalam pada itu, bagi memperkasakan wanita di Terengganu yang merupakan penyumbang ekonomi negeri, kerajaan akan menempatkan peniaga wanita di ruang pasar malam Pasarnita yang akan dibuka di Kampung Tanjung dekat sini.

Pasar malam yang akan beroperasi bermula 13 November ini menyediakan segala kemudahan seperti bekalan elektrik, air, tandas, surau, tempat letak kenderaan dan lain-lain untuk peniaga dan pengunjung.

Ia dikendalikan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan akan memberi peluang kepada wanita berniaga tiga hari berturut-turut dalam seminggu dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *