BEAUFORT – Bayangkan kesukaran tinggal di teratak usang tanpa bekalan elektrik dan air selama lebih 20 tahun.
Bagi kita yang sudah biasa menikmati kemudahan tersebut sudah pasti begitu sukar membayangkan kehidupan sedemikian. Namun itulah yang ditempuhi Komoi Awang bersama anak lelakinya di Kampung Luagan Sanginan di sini.
Namun kisah duka wanita ini berakhir hari ini (29 Januari) dengan siapnya projek Teratak Prihatin untuknya hasil infaq orang ramai yang diselaraskan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah.
Rumah yang baru siap dibina ini dilengkapi dua bilik tidur, ruang tamu, dapur bilik air dan tandas serta bekalan elektrik.
Ia dibina secara bergotong royong dan siap dalam tempoh dua bulan yang menelan belanja kira kira RM20,000.
Hadir ke majlis ringkas penyerahan rumah ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, Yang Berhormat Tuan Haji Ruslan Haji Muharam serta Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki.
Haji Ruslan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan YADIM memperkenal dan menyelaras pembinaan Teratak Prihatin dan memilih Dewan Undangan Negeri Lumadan sebagai kawasan pertama di Sabah untuk dilaksanakan program ini.
Beliau juga berharap inisiatif YADIM ini dicontohi oleh pihak lain untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan.
Pada 29 Januari juga YADIM mengadakan Ziarah Prihatin di Kampung Rancangan Klias dan Kampung Parit Kalabu di sini bersama Y.Bhg Datuk Hajah Siti Aminah Aching, wakil dari Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.
KOMEN