PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan kemasukan penceramah luar ke negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Kabinet sebelum ini juga sudah bersetuju bahawa kehadiran penceramah luar mestilah mengikut syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, syarat itu bukan saja perlu dipatuhi oleh penceramah tetapi juga termaktub kepada individu bukan Islam yang hadir dalam sesuatu ceramah yang diadakan.
“Dia (penceramah) mestilah mengikut dan faham situasi di negara ini, keadaan masyarakat serta beberapa perkara asas lain.
“Mereka tetap kena hormati undang-undang serta keadaan negara ini yang mempunyai berbilang kaum dan bangsa (di mana) Islam sebagai agama Persekutuan (tetapi) agama lain bebas untuk diamalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penceramah bebas, Dr Zakir Naik susulan ucapannya yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat bukan Islam negara ini.
Terdahulu, Mujahid melancarkan Program Halal Fun Run 2019 di Kompleks Islam Putrajaya hari ini (21 Ogos).
Sementara itu, Mujahid turut mengulas mengenai dakwaan Islam kini terancam di bawah kepimpinan kerajaan.
Mujahid berkata, dakwaan sedemikian seharusnya tidak digunakan sebagai modal sehingga menggambarkan Islam kini terancam.
“Kalau nak ambil dua tiga isu untuk menggambarkan keseluruhan kegagalan, bagi saya itu sudah melampau,”ujarnya. – Harian Metro
KOMEN