TEL AVIV, 8 Jan. – Berang dengan sokongan yang diberikan terhadap Palestin, Israel bertindak menyekat wakil daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing, memasuki wilayah dikuasainya.
Israel mendakwa, NGO dari Eropah, Amerika Syarikat, Chile dan Afrika Selatan itu menyokong boikot ke atas Yahudi kerana menduduki negara Palestin.
Mac tahun lalu, rejim pengganas Zionis melarang warga asing menyokong boikot ke atas negara itu atau penempatannya, yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.
Menteri Perhubungan Strategik dan Keselamatan Awam, Gilad Erdan memaklumkan, Israel sama sekali tidak akan membenarkan mereka yang melanggar peraturan memasuki wilayah yang dikuasai.
“Kami akan berubah dari pertahanan kepada serangan. Pertubuhan yang melaksanakan boikot perlu tahu bahawa Israel akan bertindak ke atas mereka dan tidak akan membenarkan mereka untuk memasuki wilayah kami, jika ia boleh membahayakan penduduknya,” katanya.
Tindakan Israel itu mendapat tentangan kumpulan hak asasi, antaranya mengkritik peraturan itu yang dianggap satu kawalan ketat.
Ini kerana, Israel turut mengawal kemasukan ke wilayah Palestin, selain di sempadan yang memisahkan Semenanjung Gaza serta Mesir. – Agensi
KOMEN