Home » Analitis » Teks Ucaptama Fastabiqul Khairat

Teks Ucaptama Fastabiqul Khairat

Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh.

Setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, dapat kita berhimpun pada hari ini, di tempat yang penuh barakah ini bagi menjayakan program Forum Khas Malaysia Negara Rahmah.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga Baginda serta para sahabat Baginda SAW.

Rasulullah SAW bukan hanya Nabi penutup semua nabi (khataman nabiyyin), akan tetapi Baginda SAW adalah satu-satunya Nabi yang mempunyai ‘hak prerogatif’ memberikan syafaat kepada umatnya yang layak pada Hari Akhirat kelak.

Baginda SAW adalah seorang Nabi yang membawa obor peradaban dan perdamaian manusia secara revolusi, sekali gus pembawa risalah kebenaran hakiki yang membezakan antara hak dan batil, pembawa transformasi era kegelapan menuju era terang-benderang (minazzulumati ilannur), dan memancarkan rahmat ke seluruh jagat raya (rahmatan lil alamin) melalui agama Islam yang kita cintai.

Hadirin yang dimuliakan sekalian,

Melakukan kebaikan merupakan fitrah setiap insan. Melakukan kebaikan seharusnya menjadi matlamat setiap manusia. Kebaikan akan memandu setiap perbuatan dan tindakan manusia yang membawa kepada kesempurnaan kejadiannya sebagai makhluk Allah SWT di muka bumi ini.

Setiap insan diberi pilihan untuk menentukan tindakan mahupun jalan hidupnya sendiri. Maka, wajarlah setiap manusia berusaha menuju kesempurnaan hidupnya agar hidupnya tidak sia-sia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 148:

Maksudnya, “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat). Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada Hari Kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Ayat ini dapat difahami sebagai dorongan kepada umat Islam untuk sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan sesuai dengan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan (fastabiqul-khairat). Kebaikan tidak terbatas kepada suatu amalan khusus sahaja. Setiap amalan kebaikan yang diredai Allah SWT dan tidak melanggar syariat menepati ruang lingkup kebaikan. Al-khairat mencakupi aspek hubungan dengan Allah SWT (hablum minallah), sesama manusia (hablum minannas) dan alam (hablum minal ‘alam).

Berlumba-lumba dalam membuat kebaikan bererti mentaati dan patuh menjalankan perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya dengan semangat yang tinggi. Yakinlah, setiap perbuatan sama ada baik atau jahat, walau sekecil mana pun, pasti akan mendapat balasan yang adil dan setimpal.

Mungkin timbul persoalan, mengapa kita mesti menyegerakan amal kebaikan, atau yang kita sebut, ‘fastabiqul khairat’?

Hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Terdapat suatu kisah di mana Rasulullah SAW menyebut profil penghuni syurga tanpa hisab bermula daripada para nabi sehingga kepada Baginda SAW. Para sahabat mulai resah, bagaimanakah rupa orang tersebut?

Apabila para sahabat melontar soalan tersebut kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW menjawab, “Mereka adalah orang yang tidak melakukan ruqyah, tidak beramal dengan yang buruk-buruk, dan bertawakal kepada Rabbnya.” Tiba-tiba bangun seorang lelaki lalu berkata, “Berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan aku termasuk dalam golongan mereka.”

Kemudian bangun lelaki kedua dan berkata yang sama seperti lelaki yang pertama tadi.

Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Engkau sudah didahului Ukasyah.”

Ya, pemuda yang pertama kali bangun adalah Ukasyah bin Mihsan. Ukasyah tidak perlu menunggu untuk menjadi yang kedua. Kerana keberaniannya pada kesempatan yang pertama, permohonannya di ‘amini’ oleh Rasulullah. Seperti api yang menyala-nyala, seperti itulah semangat Ukasyah yang hadir di awal, bukan di akhir.

Inilah sahabat Rasulullah SAW. Mereka memiliki suatu semangat yang sudah lama umat Islam tinggalkan. Semangat fastabiqul khairat, berlumba-lumba dalam kebaikan.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran, surah Al-Mukminun ayat 61:

Maksudnya, “Mereka itulah orang yang segera untuk mendapat kebaikan
dan merekalah orang yang segera memperolehnya.”

Kembali kepada persoalan kita tadi. Mengapa kita mesti menyegerakan amal kebaikan ?

Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Fastabiqul Khairat ialah suatu konsep yang menyeru setiap umat Islam agar segera melakukan perkara kebaikan demi mendapatkan keredhaan Ilahi.

Mengapa perlu segera?

Pertama, kerana kelebihan waktu yang kita miliki hanyalah waktu saat ini. Apa yang akan terjadi kemudian atau hari esok, kita tidak tahu. Sedangkan semalam mahupun hari-hari yang telah berlalu, bukan lagi milik kita. Hari-hari itu tidak akan kembali lagi. Yang ada hanya hari ini. Maka segeralah beramal, fastabiqul khairat!

Kedua, amal kita tidak boleh dikerjakan oleh orang lain. Pada Hari Akhirat, setiap orang akan datang kepada Allah SWT dengan amal perbuatan yang dikerjakannya sendiri di dunia. Kesolehan orang tua tidak boleh disamakan dengan anaknya. Seorang suami tidak akan selamat daripada murka Allah SWT kerana amal perbuatan isterinya. Di Akhirat nanti, setiap jiwa akan sibuk dengan urusan masing-masing seperti firman Allah SWT dalam surah ‘Abasa ayat 34 – 37

Maksudnya: “Pada hari seseorang itu lari daripada saudaranya. Dari ibunya serta bapanya. Dari isteri serta anak-anaknya. Kerana setiap seorang daripada mereka pada hari itu ada perkara-perkara yang sangat menjadikannya sibuk engan hal dirinya sahaja.”

23. Setiap kita harus bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan yang diamanahkan di atas bahu kita masing-masing sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya, dan akan dimintai pertanggung jawaban atas urusan rumah tangga tersebut. Seorang pembantu adalah pemimpin dalam urusan harta tuannya, dan akan dimintai pertanggung jawaban atas urusan tanggung jawabnya tersebut.”
(HR. Bukhari No. 844)

Ketiga, kemuliaan dan keredhaan Allah SWT adalah pada ketaatan. Darjat seseorang di sisi Allah SWT adalah disebabkan kesungguhannya dalam menyahut seruan kebajikan dan mengamalkannya.

Kempat, ada sesetengah ibadah atau pekerjaan ditetapkan waktu-waktunya sendiri. Solat fardu lima kali sehari semalam ditetapkan waktu-waktunya. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan yang tertentu waktunya kepada orang yang beriman.”

Begitu juga dengan ibadah-ibadah puasa dan haji. Telah ditetapkan waktu untuk mengerjakannya. Zakat pula wajib ditunaikan bila telah memenuhi syarat. Ini berkait rapat dengan disiplin dan kepatuhan.

Maka, apabila tiba masa untuk melaksanakan amalan-amalan ini, bersegeralah mengerjakannya. Jangan bertangguh atau dilenggah-lenggahkan sehingga luput waktu.

Kelima, kesempatan beramal seringkali diberikan hanya kepada orang dan waktu yang tertentu. Orang kaya diberi kesempatan beramal dengan kekayaannya dalam masa tertentu. Orang berilmu diberi kesempatan beramal dengan ilmunya juga dalam masa tertentu.

Begitu juga dengan penguasa, diberi kesempatan beramal dengan kekuasaannya dalam masa tertentu. Oleh hal yang demikian, setiap daripada kita harus bijak menggunakan waktu dan kesempatan yang ada, jangan ditunda-tunda atau ditangguh-tangguh. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah bergeser telapak kaki bani Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabb-nya sehingga ditanya tentang lima perkara: umurnya, untuk apa digunakan; masa mudanya, untuk apa ia habiskan; hartanya dari mana ia dapatkan dan untuk apa ia belanjakan; dan apa yang dia perbuat dengan ilmu-ilmu yang telah dia ketahui.” (HR. At-Tirmidzi no. 2416 dan dishahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani di dalam Ash Shahihah no. 947).

Bagaimana pula sifat orang yang melakukan kebaikan?

Hadirin yang dirahmati sekalian, orang yang ingin melakukan kebaikan perlulah menanam sifat tulus, jujur dan niat yang ikhlas dalam beribadah kepada Allah SWT.

Orang yang menghendaki kebaikan dan hendak melakukan kebaikan tidak boleh mengabaikan lima ciri, iaitu ash-Shawab, ash-Shidq, asy-Syukr, ar-Raja’ dan al-Khauf.

Ash-Shawab atau mengikuti kebenaran, iaitu mengikuti sunnah atau jalan yang benar; jalan yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para pengikut Baginda.

Ash-Shidq atau bersikap jujur. Kejujuran boleh dilihat dalam beberapa perkara, antaranya: melakukan sebarang kebaikan tanpa mengharapkan balasan, tidak mengharapkan ucapan terima kasih atau pujian kecuali redha Allah SWT, dan tidak melakukan perbuatan yang menyakiti dan mengganggu makhluk lain.

Asy-Syukr iaitu sentiasa bersyukur. Walaupun ditimpa petaka dan bencana, dengan sifat asy-syukr setiap hamba akan tetap redha kerana percaya bahawa setiap yang berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT. Ujian dan bencana yang menimpa kita hanya untuk menguji sama ada kita benar-benar hamba yang bersyukur ataupun kufur.

Ar-Raja’ iaitu sentiasa berharap kepada Allah SWT. Apabila melakukan kebaikan, hendaklah kita penuh pengharapan bahawa amalan kita akan diterima Allah SWT. Dalam masa yang sama, timbul kerisauan sekiranya amal kebaikan itu ditolak atau dihalang oleh keburukan.

Al-Khauf iaitu sentiasa takut kepada Allah SWT. Perasaan khauf ini wujud dalam diri seorang hamba yang merasakan dirinya terlalu banyak melakukan dosa. Namun, dalam keadaan begini, seorang hamba itu tidak seharusnya berputus harapan. Teruslah berbuat kebaikan kerana Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 56 yang bermaksud, “Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.”

Hadirin yang dihormati sekalian

Semangat berbuat kebaikan ini perlu disokong agar kita sentiasa istiqamah dalam fastabiqul khairat. Antara lima sifat yang dapat menyokong semangat fastabiqul khairat adalah:

Pertama, niat yang ikhlas. Ikhlas dalam beribadah atau beramal soleh akan dapat mendekatkan diri kepada Allah. Sifat ikhlas dengan indah digambarkan dalam doa Iftitah: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku lillahi Rabbil ‘Alamiin.”

Ikhlas dalam beramal akan menjadikan amalan itu perkara yang menyenangkan.

Kedua, cintakan kebaikan dan orang baik akan menjadikan kita lebih bersemangat dalam beramal. Allah menyukai orang yang berbuat baik sebagaimana yang ditegaskan melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud,

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Ketiga, merasa beruntung setiap kali melakukan kebaikan kerana percaya dan yakin kepada Allah SWT. Apabila iman sudah meresapi jiwa, kita akan merasa beruntung untuk terus melakukan kebaikan demi untuk mencapai reda-Nya.

Keempat, meneladani golongan yang beramal baik. Era Rasulullah SAW dan para sahabat adalah era “khairul ummah”, iaitu umat terbaik. Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa bersemangat dan berjuang tanpa henti untuk menyebarkan kebaikan pada semua orang, baik kepada orang mukmin mahupun kafir. Perkara ini harus diteladani. Mudah-mudahan menjadi jalan agar kita kelak dikumpulkan di bersama-sama mereka ini.

Kelima, memahami ilmu tentang kebaikan. Sayyidina Ali pernah berkata, “Tubuh manusia akan melewati enam keadaan, yakni sihat, sakit, mati, hidup, tidur dan bangun. Begitu pula roh. Hidupnya hati adalah berkat bertambahnya ilmu, dan matinya akibat tidak adanya ilmu.”

Maka ilmu sangatlah penting untuk selalu membuat hati kita hidup. Apa saja ilmu perlu dipelajari agar kita tidak terkeliru dan mudah dipengaruhi. Apatah lagi, menuntut ilmu adalah wajib.

Jika ilmu tentang kebaikan sudah digenggam, maka semangat melakukan kebaikan akan terus tumbuh dalam jiwa. Sebab dalamnya ilmu itu menjadi bekal untuk beramal demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Semoga Allah meredhai setiap langkah kita untuk mendekati-Nya. Semoga semangat berlumba dalam kebaikan terus berkobar dalam jiwa kita, sebagaimana yang dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Islam bukan sekadar mengucap dua kalimah Syahadah. Islam juga menghendaki umatnya berfikir, bersikap dan berperi laku serta mengamalkan gaya hidup secara Islam.

Umat Islam juga memikul tugas berat namun mulia iaitu dakwah amar makruf nahi munkar, tugas menyeru agar tegak kebenaran, keadilan, dan kebaikan.

Islam bukanlah agama yang sempit. Islam bukan untuk dunia Arab sahaja. Untuk mencapai maksud dakwah, kita perlu berfahaman luas, berhati lapang, memandang seluruh isi dunia sebagai saudara. Rasa persaudaraan yang hendak ditanamkan pada seluruh manusia.

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman di dalam surah Al-Nahl, ayat 125 yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik ….”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa dalam berdakwah menyampaikan rahmah ke serata alam tetap perlu dilakukan dengan penuh kebaikan.

Menyampaikan dakwah perlulah dengan hikmah dan bijaksana, membuka akal fikiran manusia dengan mengajaknya melihat dan merenung setiap kejadian alam agar menyedari hubungannya dengan Allah SWT.

Dakwah bil hikmah meliputi seluruh manusia, menurut perkembangan akal, fikiran, dan budi pekerti, dapat diterima oleh orang yang berfikir sederhana serta dapat pula mencapai kepada pemikiran yang lebih tinggi dan lebih cerdas sebab yang disebut di samping fikiran adalah perasaan dan kemahuan (aqal, athifah, dan iradah).

Memberikan peringatan atau pengajaran yang baik terutama ditekankan kepada teguran atas sesuatu kesalahan. Contoh yang baik dalam hal ini ditunjukkan juga di dalam Al-Qur’an iaitu cara yang diajarkan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s. seketika dia diperintahkan menyampaikan dakwah kepada Fir’aun. Padahal Fir’aun itu terkenal derhakanya kepada Allah, bahkan mengakui dirinya sebagai Tuhan, “Ana rabbukumul a’laa”, saya adalah Tuhan kamu yang paling tinggi.

Apabila kita baca Al-Qur’an dan kita renungkan dengan saksama perjuangan Nabi Musa a.s. dan Harun a.s. menentang dan melawan Fir’aun, tergambarlah bagi kita bahwa Fir’aun itu adalah manusia paling keras kepala, sombong, dan kejam. Namun, dalam menghadapi Fir’aun, Allah SWT memberikan tuntutan kepada Musa a.s. dan Harun a.s.,

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir’aun)dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar dan takut.” (Thaahaa: 44)

Daripada al-Quran, kita dapat mengambil kesimpulan bahwa seorang yang dapat menyampaikan teguran dengan lemah lembut, dengan sikapnya itu saja telah terbukti bahwa dia dapat rahmat dari Allah SWT sebab dia dapat menghimpun orang. Apabila dia kasar, dia akan gagal sebab orang akan lari.

Kita dapat mempelajari dengan saksama bagaimana cara berdakwah itu dari perbuatan nabi-nabi sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an, baik di dalam memakai hikmah mahupun dalam melakukan mau’izhatin hasanatin.

Lantaran itu, ahli dakwah yang akan berjaya dalam usaha melakukan dakwah adalah mereka yang sentiasa menanam rasa rahmat dalam jiwa mereka ketika menghadapi orang banyak di mana saja.

Hadirin yang dirahmati sekalian,

Marilah kita bersama-sama menjadikan negara kita tersohor harmoni dan aman damai ini dengan menyebarkan kasih sayang dan kebaikan sesama kita tanpa rasa kebencian mahupun prasangka.

Saya merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tuan-tuan sidang hadirin yang melapangkan masa meraikan forum kita pada hari. Tidak lupa juga kepada mereka yang bertungkus-lumus menjayakan forum ini. Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Putrajaya, 16 April 2019

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *