Home » Analitis » Teks ucapan Perhimpunan Pendakwah Kebangsaan

Teks ucapan Perhimpunan Pendakwah Kebangsaan

Ucapan YBhg Dr Yusri Mohamad

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Perhimpunan Pendakwah Kebangsaan

Hotel Bangi Putrajaya, 6 September 2016

 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين وبه نستعي

والصلاة والسلام على سيّدنا محمد

وعلى اله وصحبه ومن اتبع هداه الى يوم الدين

 

Segala pujian serta syukur dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan berkat yang dianugerahkan. Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad SAW yang diutuskan sebagai rahmat buat seluruh alam.

Yang Berbahagia Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi bin Abd Majid, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Hj Othman bin Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yang Berbahagia Datuk Hj. Zainal Abidin bin Jaffar, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zaman Khan, Ahli Panel Perunding Perpaduan Ummah Majlis Dakwah Negara – Mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM,  Ahli-Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Dakwah Negara serta Barisan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Persidangan Pendakwah Kebangsaan.

  

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari yang sangat bermakna ini dalam Persidangan Pendakwah Kebangsaan anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) – YADIM.

Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Persatuan Ulama Malaysia dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (MAPIK) di atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Persidangan Pendakwah Kebangsaan.

Para Hadirin Sekalian,

 Hujatul Islam Imam Al-Ghazali menegaskan, “Bersatulah seperti dua tangan ini. Jangan bercerai seperti dua telinga ini. Ketika tangan kanan ke depan, tangan kiri ke belakang. Ketika tangan kiri ke depan, tangan kanan ke belakang. Akhirnya kita selesa jalan berlenggang. Tapi kalau kedua-duanya ke depan..atau kedua-duanya ke belakang…?

Ilustrasi tersebut menggambarkan betapa pentingnya menjaga persaudaraan dan memupuk perpaduan  di antara kita kerana perbezaan yang muncul daripada keragaman (pemikiran, ideologi, dan sebagainya), tidak mustahil menjadi peledak lahirnya fanatisme buta, persaingan tidak sihat, perselisihan, kutuk mengutuk dan perpecahan yang berupaya meluluhlantakkan nilai – nilai kebersamaan, merapuhkan persaudaraan dan tidak mustahil pula membawa derita dan kehancuran ummah dan bangsa kita.

Kita sebenarnya menyedari hakikat bahawa umat Islam sedang menghadapi fasa perpecahan dan perbalahan yang kritikal. Perpecahan ini jika dibiarkan berterusan hanya akan merugikan umat Islam itu sendiri.

Hari ini dari segi realiti kita dapat menyasikan sendiri rata-rata umat Islam di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Islam sendiri berpecah menjadi beberapa kumpulan. Akibat daripada perpecahan ini banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah.

Akhir-akhir ini di negara kita sendiri yang majoriti penduduknya Islam menjadi saksi kemunculan berbagai puak-puak Islam yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Kumpulan Daesh, Wahabi, Hizbut Tahrir, Mazhab Shafie tulen, Syiah, Ahmadiah dan lain-lain lagi.

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Umat Islam harus sedar bahawa tiupan angin pembaharuan sesetengah golongan ini sudah tentu akan mengancam keberagamaan kaum Muslimin di negara kita yang bertaklid kepada ulama Syafiyah (kaum tradisional). Dan ini menambah lagi satu masalah besar sedangkan hakikatnya kita sedang berhadapan dengan masalah-masalah yang lebih besar dan utama seperti soal perpaduan, pengukuhan politik Melayu-Islam dan kemunduran ekonomi umat Islam.

Dalam masa yang sama, negara juga berdepan dengan situasi jenayah yang kian hari kian membimbangkan. Aktiviti-aktiviti seperti penyalahgunaan dadah, penculikan, gengsterisme, kongsi gelap, pelacuran, rempit, rogol dan bunuh telah menjadi suatu yang semakin menghimpit keamanan negara. Permasalahan ini juga memerlukan kekuatan yang benar-benar ampuh, telus untuk menghadapinya.

Kita lupa dan terus berpolemik di sekitar perdebatan yang tidak bertepi seperti membicarakan isu-isu klasik sekitar masalah khilafiah yang ternyata dari segi sejarah telah menyebabkan berlakunya perpecahan ummah. Demikian juga rosaknya peradaban kaum ahli kitab adalah kerana perselisihan dan perpecahan.

Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh-musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) dan oleh sebab itu pula mengabaikan masalah-masalah kulliyah (masalah pokok) yang sepatutnya diberi keutamaan oleh umat Islam. Sejarah Islam telah mencatatkan bahawa salah satu punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik tentang masalah furuiyah ini.

Perselisihan (al-Ikhtilaf) termasuk perbuatan yang harus dihindari oleh umat Islam. Sebenarnya tidak perlu diungkapkan data-data sejarah tentang apa yang muncul pada umat manusia, khususnya kaum Muslim akibat daripada perselisihan dan perbezaan itu. Perselisihan dan perbezaan pendapat lebih banyak membawa kesan negatif daripada positifnya. Apa pun jenis perbezaan dan perselisihan itu tidak baik dan akan menyebabkan terhakis dan hilangnya keupayaan intelektual seseorang.

Para Hadirin Sekalian,

Ikhtilaf adalah satu anugerah dan rahmat tetapi kini ia berubah menjadi bencana yang besar, sebagaimana terjadi pada kaum ahli Kitab. Kehancuran sesuatu umat dan bangsa kerana hilangnya etika ikhtilaf.

Pada ketika terjadinya ikhtilaf, para sahabat sering mengunakan pendekatan takwa bukan emosi. Dan yang anehnya mereka yang terlibat dengan polemik ini bukan orang-orang awam tetapi di kalangan golongan intelektual yang menduduki tampuk kepimpinan umat.

Berbeza pendapat dalam masalah agama bukanlah ruang atau ladang luas yang diperkenankan untuk semua orang. Perbezaan hendaklah diberikan kepada orang-orang yang mempunyai kebolehan dalam ilmu agama. Perbezaan pendapat antara ahli-ahli mujtahid tidak harus terbawa-bawa kepada orang awam atau dimanfaatkan oleh mereka yang ada kepentingan politik. Jika ia sedemikian, perbezaan pendapat sampai kepada orang awam atau maka yang akan muncul ialah perpecahan dan permusuhan.

Ibnu Khaldun berkata: “Pada mulanya perselisihan antara golongan-golongan Islam hanya bidang ilmiah, dan perbezaan tidak lebih daripada satu pendapat mengkritik pendapat yang lain, dan urusan mereka berjalan seperti itu.

Tetapi hal itu berubah ketika arus perpecahan meluas dan perbezaan menyentuh masyarakat kerana faktor politik yang menghendaki agar umat tidak berada pada satu pendapat.”

Para Hadirin Sekalian,

Agama Islam yang satu ini sepatutnya menyatukan mereka tetapi berubah kepada menjadi perselisihan, permusuhan dan pertengkaran yang tidak berkesudahan.

Ia juga menjadi propaganda untuk merenggangkan hubungan persaudaraan yang telah diikat dengan tali agama seperti mana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu. (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Jalan yang besar dan lebih utama ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka dalam barisan ukhuwah Islamiah dalam menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala-gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh dalam masalah khilafiah.

Walau bagaimanapun ingin dinyatakan disini bahawa Ahli al-Sunnah itu sendiri bukanlah suatu mazhab dalam ertikata yang sebenar, tetapi lebih merupakan majoriti umat yang berpendirian sederhana berbanding dengan pandangan- pandangan yang terdapat dalam berbagai mazhab di luar tradisinya.

Oleh yang demikian saya mencadangkan agar konsep ahli al- Sunnah Wal -Jamaah itu sendiri perlu tidak terlalu eksklusif malah sebaliknya perlu lebih terbuka (inklusif) agar dapat merangkumi berbagai elemen yang  sebelum ini dianggap terkeluar daripada kerangkanya.

Justeru saya berkeyakinan bahawa Ahli al-Sunnah wal-Jamaah_ merupakan suatu konsep yang sangat sesuai dipertahankan di negara ini, malah di Nusantara seluruhnya memandangkan fleksibilitinya dan sejarah pengalamannya dalam menyatupadukan umat Islam di rantau ini. Memperkasakan atau dalam ertikata lain Mengekalkan Asia Tenggara sebagai rantau Ahli Sunni  merupakan satu usaha yang murni yang mana sepatutnya seluruh tokoh-tokoh agama dan pendakwah, jabatan-jabatan agama dan pihak-pihak NGO yang berteraskan Islam perlu berganding bahu untuk merealisasikannya. 

 Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

Kita sebenarnya tidak ada masa untuk berkelahi kerana agenda kita belum selesai, iaitu perpaduan umat Islam seluruhnya dan keamanan sejagat. Saya percaya apabila kita bersatu, tenteram dan aman makmur, musuh-musuh kita akan merana dan berasa tidak senang hati. Allah berfirman yang bermaksud: Jangan berkelahi (berselisih), kamu akan kecewa dan hilang kehebatan kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar. (Surah al-Anfal, ayat 46)

Apa yang kita lakukan pada hari ini akan menjadi sejarah pada masa depan. Apakah kita ingin menjadi sejarah yang bakal dicemuh oleh anak cucu kita nanti? Terpulanglah kepada sikap kita sendiri sama ada ingin meneruskan sengketa ataupun mencari jalan damai. Jika jalan damai yang kita pilih, hubungan persaudaraan akan bertaut kembali dengan lebih kukuh.Pilihan itu selalu ada dan kita selalu diberikan peluang untuk membuat pilihan.

Para hadirin dan hadirat sekalian

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan juga sekalung tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan Persidangan Pendakwah Kebangsaan ini.

Akhir kata saya akhiri ucapan saya dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *