Home » Analitis » Teks ucapan Multaqa Belia dan Ilmuan Muda

Teks ucapan Multaqa Belia dan Ilmuan Muda

 

 MULTAQA BELIA DAN ILMUAN MUDA berlangsung di HOTEL BANGI-PUTRAJAYA, BANDAR BARU BANGI pada 28 OGOS 2016 (AHAD)

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين وبه نستعي

والصلاة والسلام على سيّدنا محمد

وعلى اله وصحبه ومن اتبع هداه الى يوم الدين

 

Segala pujian serta syukur dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan berkat yang dianugerahkan. Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad SAW yang diutuskan sebagai rahmat buat seluruh alam.

(SALUTASI)

Seterusnya para hadirin dan hadirat yang dikasihi.

Bagi pihak YADIM, jutaan penghargaan dan aluan saya ucapkan atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah ke Multaqa Belia dan Ilmuan Muda yang julung-julung kalinya dianjurkan ini. Sesungguhnya, tanpa sokongan dan kesudian daripada pihak tuan-tuan dan puan-puan, perhimpunan ini tidak mungkin direalisasikan.

Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan penganjur bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang sudi bersama-sama YADIM bagi menjayakan perhimpunan ini. Tanpa sokongan dan bantuan kalian, tidak mungkin perhimpunan ini dapat dijayakan sepertimana hari ini.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada urusetia majlis, Kumpulan Kerja Belia dan Ilmuan Muda, Panel Perunding Ummah Majlis Dakwah Negara (MDN), dan seluruh warga kerja YADIM yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana berjaya menganjur dan mengumpulkan insan-insan hebat yang hadir di dalam dewan ini bersama-sama dalam satu perhimpunan yang penuh bermakna ini.

Diharapkan, dengan berkumpulnya insan-insan hebat ini, akan menghasilkan satu resolusi yang dapat diangkat bagi mencapai maksud objektif yang telah ditetapkan iaitu antara lain bagi mewujudkan persefahaman, permuafakatan dan kesatuan di kalangan generasi muda dan belia Islam dengan menggembleng kemahiran, ilmu dan tenaga mereka agar dimanfaatkan demi perpaduan ummah dan pembangunan negara berasaskan ketamadunan Islam sejati.

Selain itu, perhimpunan ini juga diharapkan menjadi jambatan penghubung suatu hubungan strategik bersama tokoh-tokoh belia dan ilmuan muda yang bergiat aktif dan terlibat secara langsung dalam aktiviti antara mereka dengan harapan agar hubungan ini kelak dapat dimanfaatkan oleh semua.

Manakala di akhir perhimpunan ini, satu kumpulan kerja dapat dibentuk bagi menggerakkan agenda pendidikan, sosial dan ekonomi agar ianya dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah di kalangan generasi muda di masa akan datang. Insya-Allah.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Kita sedia maklum, belia ialah suatu tahap kecergasan tertinggi di dalam kitaran hidup manusia. Daripada kisah-kisah yang disampaikan di dalam al-Quran mengenai peranan dan sumbangan belia dalam pembangunan ummah adalah jelas akan kekuatan dan pengaruh mereka dalam membangun tamadun, bangsa dan negara yang meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya mahupun pendidikan.

Ini dapat difahami daripada mutiara kata seorang sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah kepada anak mudanya pada hari ini.” Presiden Soekarno pernah mengungkapkan kata-kata, “Berikan aku sepuluh orang belia waja, nescaya akan aku gegarkan dunia.”

Ternyatalah bahawa belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh hal yang demikian itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap anak muda agar memainkan peranan mereka dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh dalam usaha merencanakan pembangunan negara.

Namun, pengaruh kebendaan dan keseronokan yang dihidangkan menerusi budaya hiburan yang berleluasa pada masa kini telah menyebabkan golongan belia yang dikuasainya berada di dalam keadaan ‘pegun’ dan lemah dari segi mantiknya. Kenakalan remaja, seks bebas dan bermacam masalah lainnya semakin hari semakin merebak. Masih ramai lagi di kalangan mereka yang terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam.

Kita acapkali mendengar terdapat sebilangan remaja melakukan seks luar nikah lalu melahirkan anak luar nikah. Sedihnya, bayi yang dilahirkan kemudiannya dibunuh dan ada yang dicampak ke tempat pembuangan sampah malah daripada bangunan tinggi, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka bagi mengelak daripada diketahui keluarga dan masyarakat. Ini tidak termasuk remaja yang berdampingan dengan arak dan najis dadah.

Semakin ramai anak muda kita tanpa segan silu membuka aurat, berdua-duaan tanpa ikatan yang sah dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Nilai yang membentuk keperibadian beracuankan budaya ‘idolisme’ atau budaya pemujaan ‘selebriti’ pula adalah perkara lumrah kini. Artis dan selebriti menjadi ikutan, sedangkan adalah lebih wajar sekiranya budaya ‘idolisme’ tersebut diambil alih oleh budaya ikutan terbaik dan sempurna iaitu para nabi, rasul dan mereka yang gemilang dalam sejarah tamadun Islam yang unggul.

Hakikatnya, kelayuan nilai yang disebabkan oleh pendedahan kepada nilai-nilai ‘kelabu’ yang dihimpunkan oleh media massa terutama media sosial ini berupaya menghakis nilai-nilai Islam dan nilai-nilai ketimuran.

Justeru, bagi memastikan nilai Islam dan ketimuran tetap terpelihara, antara usaha awal yang boleh diambil adalah dengan memperbanyakkan pusat sehenti yang memberikan khidmat kaunseling secara percuma kepada golongan belia yang memerlukan. Pusat-pusat kaunseling yang diwujudkan akan bertindak sebagai One Stop Center kepada mereka melalui pendekatan bersemuka dan ‘hati ke hati’ dengan pihak kaunselor dan kemudiannya disusuli dengan tindakan susulan yang sewajarnya.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Kajian Allahyarham Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengenai proses membina ketamadunan menerusi garapan nilai-nilai murni dan adat menggambarkan suatu pandangan yang menyeluruh tentang kepentingan jalinan elemen nilai-nilai murni dan adat dengan ajaran agama Islam. (Muhammad Uthman El-Muhammady, “Ibn Khaldun Dan Pemerkasaan Budaya Dan Tamadun Dengan Merujuk Kepada “Al-Muqaddimah,”  2007).

Menurut kajian beliau, pemerkasaan budaya ilmu, perkembangan pengetahuan, dan kemahiran hendaklah dijadikan bidang tumpuan agar dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang mengutamakan ilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam menjalani kehidupan disamping menyempurnakan tugasan dan pengabdian kepada-Nya. Fardu ain dan fardu kifayah perlu diimbangi tanpa melebih atau mengurangkan antara keduanya.

Kecekapan berfikir secara logikal yang terarah kepada kebaikan serta yang bersifat “purposive” dan teratur perlu disemarakkan dalam pendidikan formal dan tidak formal.

Ilmu pengetahuan yang berperanan mendidik ini pula bukan bermaksud sekadar memenuhi otak dengan segala macam ilmu yang belum diketahui tetapi ilmu yang bermaksud mendidik akhlak dan jiwa mereka. Al-Ghazali pernah berkata: “Tujuan pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah. Tujuan mempelajari segala ilmu pada masa kini adalah untuk kesempurnaan dan keutamaan jiwanya”.

Imam Al-Ghazali ada berpesan kepada muridnya: “Wahai anak! Ilmu semata-mata pasti tidak akan menjauhkan maksiat di dunia ini, tidak akan membawa kepada ketaatan dan di akhirat kelak ia tidak akan memelihara kamu atau menghindarkan kamu daripada neraka jahanam.”

Sehubungan dengan itu, dalam usaha membentuk keperibadian diri yang luhur dan terpuji, golongan belia harus mendekatkan diri, mempelajari dan memahami al-Quran dan as-Sunnah serta melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Malah, Profesor Yusof Al-Qardhawi menyatakan pemuda pemudi Islam yang berhemah tinggi adalah mereka yang membaca al-Quran dan mempelajari sunnah al-Nabawiyyah. Jelasnya, melalui pendekatan diri kepada kitab suci al-Quran, golongan belia akan dapat membentuk sifat percaya kepada realiti dan mementingkan ilmu pengetahuan, suka beramal dan hidup berjemaah yang kukuh.

Selain itu mereka juga ikhlas melakukan amal kebajikan, saling berinteraksi dengan masyarakat serta hidup dalam keseimbangan duniawi dan ukhrawi.

Jelas bahawa ilmu pengetahuan merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan belia yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelekual yang memiliki akhlak dan jiwa yang terdidik merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa.

 

Hadirin dan hadirat yang dimuliakan,

Melihat kepada konteks membangunkan belia berkualiti ini, kita sebagai mewakili kumpulan belia dan agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan yang lebih efisien sebagai sokongan terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan kerajaan.

Malah, banyak program misalnya program-program berbentuk sosial dan pembangunan ekonomi yang boleh disertai antaranya aktiviti yang dijalankan di bawah Majlis Penggalakan Ekonomi Belia seperti Kursus Asas Perniagaan, Program Bimbingan Usahawan Baru, Penajaan Latihan Usahawan Belia, Seminar Peluang Niaga Tani, Kursus Teknikal Belia Tani dan Penajaan Promosi Produk Belia.

Ini penting kerana di samping menjana pertumbuhan ekonomi diri dan negara, secara tidak langsung program-program sedemikian juga menggalakkan belia mengetahui peredaran ekonomi negara serta mengetahui cara untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara daripada terus merudum.

Selain daripada itu, kreativiti dan inovasi perlu dijadikan sebagai antara sifat yang perlu ada dalam diri setiap belia demi memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini kerana hanya mereka yang sentiasa berani mempelopori bidang yang baharu sahaja yang dapat mengecapi kejayaan.

Teknologi maklumat terutama media sosial sememangnya senonim dengan golongan belia. Justeru, pengaplikasian media sosial seperti Instagram, Facebook, Youtube, Blog secara terpimpin juga dilihat boleh dimanfaatkan. Misalnya, penggunaan aplikasi pengiklanan di Facebook dan Instagram boleh digunakan sebagai platform untuk meningkatkan hasil jualan.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Jelas sekali bahawa belia negara generasi kini akan menentukan halacara pembangunan dan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Di samping ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, golongan belia harus juga mempunyai sikap dan nilai yang positif seperti toleran, sanggup bertolak ansur, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara.

Sebagai khatimah, sekali lagi, terima kasih diucapkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang sudi menjadi rakan kerjasama penganjuran perhimpunan yang bersejarah ini. Terima kasih juga turut saya rakamkan kepada ahli jawatankuasa penganjuran serta seluruh yang hadir. Saya doakan semoga Allah SWT memberkati dan meredhai setiap titik peluh pengorbanan kita di atas jalan dakwah dan membangkitkan kita bersama-sama dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak untuk beroleh nikmat teragung yang kekal abadi daripada Allah SWT. Ameen Allahumma ameen.

 

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *