Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Ustaz Nasrudin Hassan menzahirkan kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan menganjurkan tazkirah 24 jam yang julung-julung kali diadakan yang berakhir pada 19 Oktober 2021 jam 10 malam.
Ia sekaligus diumumkan oleh Malaysia Books Of Records sebagai tazkirah yang terpanjang yang dicatatkan selama 25 jam melebihi sasaran asal iaitu 24 jam dengan jumlah penonton lebih 50,000 orang.
Menurut Ustaz Nasrudin, tujuan penganjuran ini ialah bagi menterjemahkan tugas menyampaikan peringatan yang disuruh oleh Allah sebagai manfaat untuk orang beriman
Tazkirah yang berpaksikan pengkisahan sejarah hidup Rasulullah SAW itu diadakan sempena Maulidur Rasul 1443H.
Ia memaknakan sambutan Maulidur Rasul dengan mengisahkan sejarah hidup baginda menerusi kitab Sirah Nabawiyah Al Rahiqul Makhtum yang memiliki sebanyak 861 muka surat
Ustaz Nasrudin berkata, kejayaan tazkirah 24jam ini juga sebagai usaha untuk mengkhatamkan buku karangan yang sangat bermakna ini yang kebiasaannya kebanyakan tidak mampu untuk membacanya dalam tempoh yang singkat.
Beliau menegaskan, usaha yang dilakukan oleh YADIM menerusi program tazkirah 24 jam bukanlah untuk mencari nama dan kebanggaan tetapi untuk menyeru dan menyemarakkan semangat hari sambutan Maulidur Rasul 1443H.
“Kejayaan program ini adalah hasil usaha gigih semua pihak termasuk para pentazkirah dari dalam dan luar negara, kakitangan YADIM dan juga pihak belakang tabir yang menguruskan teknikal penyiaran tazkirah 24 jam YADIM ini.
“Semoga usaha ini beroleh keberkatan daripada Allah SWT dan diganjari dengan sebaik-baiknya balasan disisiNya,”katanya.
KOMEN