Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR
Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
كَانَ جِذْعٌ يَقُومُ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا وُضِعَ لَهُ المِنْبَرُ سَمِعْنَا لِلْجِذْعِ مِثْلَ أَصْوَاتِ العِشَارِ حَتَّى نَزَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW biasanya berdiri di atas sebatang pokok tamar apabila menyampaikan khutbah. Setelah disediakan mimbar, kami (para sahabat) dengar tangisan pokok itu bagaikan suara unta yang sarat mengandung, hinggalah Nabi SAW turun dari atas mimbar itu menghiburkan pokok yang ditinggal sambil meletakkan tangan suci Baginda padanya.” (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, bil. 918 daripada Jabir bin Abdullah).
Pada tahun ke 9 Hijrah, kira-kira hampir setahun lagi hayat Rasulullah SAW akan berakhir, ketika itu sendi tulang dan urat saraf Baginda Rasulullah mulai merosot. Sebatang pohon tamar terbaring dalam kawasan Masjid Nabawi yang terletak jarak jauhnya kira-kira lapan langkah pejalan kaki dari kediaman Nabi SAW. Pada setiap hari Jumaat ketika Baginda menyampaikan khutbah, Baginda akan berdiri di atas batang pohon tamar itu supaya wajahnya dalam detik-detik suci seumpama ini dapat disaksikan dengan sempurna oleh para hadirin. Tradisi ini berjalan sejak masjid yang dikenali dengan nama Masjid Nabawi atau Masjid Madinah ini mula dibina lagi, iaitu setibanya Baginda Rasulullah bersama rombongan hijrah dari Mekah tanpa menyaksikan sebarang kejadian yang luar biasa.
Melihat Keadaan fizikal Rasulullah yang dicintai mulai merosot sejak akhir-akhir ini, seorang sahabat bernama Tamim bin Aws al-Dari meminta izin daripada Baginda untuk membekalkan sebuah mimbar baharu yang diperbuat daripada kayu dan mempunyai tiga anak tangga dan satu tempat duduk. Boleh duduk dan berdiri di atasnya. Malah penggunaannya lebih selesa berbanding batang pohon kurma yang digunakan sebagai mimbar sebelum ini.
Cinta Merentas Sempadan
Lazimnya Nabi SAW berkhutbah sambil berdiri, kali ini Nabi berkhutbah sambil duduk. Khutbah kali ini menyaksikan kejadian yang memilukan para jemaah yang sedang asyik mendengar. Pada mulanya kedengaran suara jeritan bagaikan suara ibu unta yang sarat mengandung sedang waktu kelahiran anaknya sudah tiba dan mungkin juga suara bayi kecil yang ditinggal ibu kerana sebab-sebab yang mendesak atau juga sebab-sebab lain.
Di tengah-tengah suasana kelam kabut, tiba-tiba Rasulullah dengan segera menghentikan khutbahnya dan turun dari mimbar untuk mendapatkan sebatang pelepah pohon tamar yang menjuntai ke arah kediaman Baginda. Rupa-rupanya jeritan yang didengari itu datangnya dari pelepah pohon tamar tersebut. Kecintaannya terhadap Baginda Rasulullah sangat tinggi sehinggakan ia bersedih kerana dengan kehadiran mimbar kayu yang baharu tersebut, khidmatnya tidak lagi diperlukan lalu ditinggalkan.
Betapa sedihnya sebatang pelepah tamar yang bergantung pada sebatang pokok yang menjadi landasan tapak kaki Rasulullah SAW ketika berkhutbah dalam tempoh hampir sedekad lamanya, kini, ia tidak berguna lagi. Bagaikan peribahasa Melayu “Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.”
Dua Alternatif Dipilih Satu
Dalam momen ini, Baginda SAW memeluk rapat pohon tamar yang kecewa itu sambil menenangkannya dengan menawarkan dua perkara sebagai alternatif:
Pertama: Dialih lokasinya di tepi masjid, di sana ia bebas menyedut udara dan air dari bumi, bebas berbuah dan buah-buahnya dimakan para wali Allah yang saban hari berkunjung menziarahi Masjid ini.
Kedua: Kekal di tempat ini dan menjadi teman Nabi di syurga selama-lamanya, namun Rasulullah akan membenamkannya ke dalam bumi hingga reput.
Dakapan Cinta Hanya Seketika
Kepanasan cintanya pada Nabi menyemarak ke dalam seluruh saraf batang pohon tamar ini tanpa henti, jika tidak kerana meneruskan khutbahnya yang terhenti nescaya pelepah pohon tamar itu tidak akan terus mendakap Baginda Rasulullah hingga Kiamat. Tetapi apakan daya, dia adalah milik Allah, dia diutus untuk merahmati seluruh alam.
Sebelum khutbah disambung, Nabi saw memberitahu sahabat-sahabatnya:
لَو لَم أحتَضِنْهُ لَحَنَّ الَى يَومِ الْقِيَامَ
Bermaksud: “ Jika aku tidak peluknya nescaya ia terus menangis sampai Kiamat,” (Hadis Sahih, al-Albani, Sahih bal-Jami`, bil. 9431 daripada Ibn Abbas).
Benarkah Cinta itu Buta?
Kita tidak teragak-agak menegaskan banyak cinta yang buta, terutama di kalangan manusia, kerana itu matlamat mereka tidak tercapai. Mungkin disebabkan cinta kali pertama, jalannya berliku-liku, kurang jati diri dan gelap hala tuju. Naluri cinta bukan sahaja berlaku pada makhluk manusia, malah naluri ini juga ada pada makhluk selain manusia, seperti haiwan, pokok-pokok, bukit-bukau, kayu-kayan dan batu-batan. Ada percintaan yang masih dalam sempadan dan ada yang merentasi sempadan sepertimana cinta Rasulullah SAW terhadap pohon tamar yang menjadi tajuk bicara kali.
Mungkin bicara cinta ini bersambung lagi…
-MAJALAH DAKWAH
KOMEN