Home » Langit Terbuka » Tanggungjawab besar petugas haji – PM

Tanggungjawab besar petugas haji – PM

KUALA LUMPUR 18 Julai – Tanggungjawab petugas haji amat besar dalam menguruskan jemaah haji agar mereka dapat menunaikan rukun Islam kelima itu dengan lancar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan berkenaan yang ditugaskan untuk membantu para jemaah Malaysia di Mekah dan Madinah pada musim haji yang bakal tiba amat dihargai dan diharap segala kerja-kerja yang akan diuruskan nanti dipermudahkan.

“Bertemu urus setia program khas haji. Besar tanggungjawab mereka uruskan hamba-hamba Allah mengerjakan haji. Semoga dipermudahkan,” kata beliau menerusi Twitternya hari ini.

Seramai 600 petugas Tabung Haji akan menjaga kebajikan dan ke­selamatan 22,230 jemaah Malaysia dalam musim haji tahun ini bermula 4 Ogos ini.

Untuk memastikan operasi musim haji berjalan lancar, ahli kumpulan petugas itu akan dibahagikan kepada dua skop tugas iaitu kumpulan pertama adalah menjaga kebajikan jema­ah Malaysia yang terdiri daripada petugas-petugas agensi kerajaan dan swasta terma­suk warga Tabung Haji sendiri.

Kumpulan kedua akan bertugas menjaga kesihatan jemaah terdiri daripada 10 doktor perubatan, doktor profesional, jururawat dan pembantu makmal.

Sementara itu, Program Khas Haji Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (PKHYABPM) dianjurkan tahun ini menyaksikan seramai 1,100 bakal haji ke tanah suci.

Pengerusi Jawatankuasa Khas PKHYABPM 2016, Datuk Jailani Ngah berkata, program khas haji yang masuk tahun keenam itu melibatkan jemaah dari ka­langan imam dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan kese­lamatan kampung (JKKK) serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan (JKKKP).

Katanya, pada 2011, seramai 111 jemaah telah menunaikan haji mengikuti program PKHYABPM itu, manakala 400 (2012), 800 (2013), 1,000 (2014) dan 1,200 (2015).- https://www.utusan.com.my/berita

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *