Apabila disebut dialog antara agama, sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya orang Islam memandang negatif dan menolak keberadaan mekanisme dialog antara agama di Malaysia. Terdapat pelbagai tanggapan dan persepsi mereka terhadap mekanisme dialog antara agama yang dibawa dan dipraktikkan oleh beberapa organisasi di Malaysia. Sehingga ada yang menganggap penggerak-penggerak kepada mekanisme dialog antara agama ini mempunyai misi terselindung iaitu menyatakan bahawa semua agama yang ada di Malaysia termasuk agama Islam adalah sama. Pendek kata pluralisme agama atau kesamarataan agama.
Ada pula sebahagian masyarakat juga mendakwa bahawa dialog antara agama itu lahir daripada Barat, orang Barat yang menyebar luaskan dialog antara agama, orang Barat yang membawa mekanisme ini ke dunia Islam kerana tujuan utamanya adalah missionary. Tiada langsung dalam konteks Islam ini dialog antara agama diperkenalkan, sejarah dan kisah hidup Rasulullah SAW juga tidak ada dimasukkan unsur-unsur dialog antara agama.
Persepsi-persepsi dan tanggapan-tanggapan tanpa hujahan yang dilontarkan ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam masih lagi cetek ilmunya dalam menilai takrifan dan falsafah dialog antara agama. Dakwaan-dakwaan mereka ini besar kemungkinannya disebabkan mereka terdedah dengan cerita-cerita orang tentang dialog antara agama yang berlaku di Barat, mungkin juga sejarah lama mereka yang melihat dialog antara agama ini dipelopori oleh Barat yang bertujuan mengajak orang Islam kepada agama Kristian. Dalam hal ini, makalah ini akan membincangkan takrifan dan hakikat dialog antara agama.
Takrif & Hakikat Dialog
Dialog umumnya difahami sebagai perbualan, percakapan dan komunikasi yang melibatkan dua atau lebih. Realitinya dialog adalah suatu yang biasa dilakukan oleh haiwan berakal iaitu manusia tanpa ada batasan dan masa. Contohnya dialog anak-ibu bapa, dialog guru-pelajar, dialog suami isteri dan dialog jiran sesama jiran yang mana melibatkan sesama agama. Namun, berbeza dengan dialog antara agama yang kelihatan masih di tahap permulaan amalannya dalam konteks Malaysia yang mana dialog yang melibatkan agama yang berbeza hanya dipraktikkan secara serius dan formal oleh sebahagian sahaja agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Akan tetapi dialog antara agama yang tidak formal dan berlaku secara rutin kalangan masyarakat berbeza anutan agamanya di Malaysia adalah antara suatu yang biasa berlaku terutamanya mereka yang tinggal dalam komuniti yang sama. Peliknya, jika dialog antara agama diadakan secara formal dan terancang oleh mana-mana organisasi atau badan di Malaysia, masyarakat kita terutamanya Muslim melihat serong terhadap mekanisme ini. Seolah-olah dialog antara agama hanya boleh berlaku secara tidak formal dan tidak terancang, seandainya berlaku secara terancang timbul pula prasangka-prasangka negatif seperti yang dibincangkan di atas.
Terdapat dua kategori takrifan dialog antara agama yang akan dibahaskan di sini iaitu, takrifan dialog dari sudut bahasa dan takrifan dialog dalam konteks sarjana Muslim semasa dalam dan luar Malaysia. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (http://prpm.dbp.gov.my) ; terdapat empat definisi dialog iaitu kata-kata pertuturan dalam drama atau fiksyen, karya sastera dalam bentuk perbualan, perbincangan atau perundingan antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannya dan yang terakhir, bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu secara terbuka.
Dari sudut bahasa Arab pula, terdapat dua istilah yang hampir menyamai dialog iaitu jidal dan hiwar. Dari sudut perbahasannya, kedua istilah ini mempunyai persamaan dan perbezaan. Dasar perkataan bagi jidal ialah (Jim, Dal, Lam) yang mana mempunyai empat makna iaitu (al-Khusumah- perselisihan), (Muqabalah al-hujah bi al-hujah pertukaran hujah dengan hujah), ketiga (Li izhar al-haq husna Menjelaskan kebenaran secara baik) dan keempat (Wahuma yatajadalani fi haza al-amr Kedua pihak berhujah tentang sesuatu perkara) (al-Jazar 2006 : 197). Begitu juga, Mujam al-Arabi al-Asasi (1999: 233) mentakrifkan jidal yang hampir kepada makna dialog kepada tiga yang utama iaitu (Khusmah Perselisihan), (al-Shakhsu: nakish wa khasim – Seseorang yang berbincang dan berselisihan faham), dan (al-Mujtamiuna: tukhasimu wa nakish baduhum badha Sekumpulan orang yang mempunyai perselisihan dan berbincang antara satu sama lain). Berdasarkan perbahasan akan istilah jidal berikut, kelihatan istilah jidal selari dengan definisi dialog yang dibahaskan di atas yang mana jidal merupakan proses komunikasi sekumpulan individu yang mempunyai perbezaan akan perspektif dan pandangan mengenai isu-isu yang dibincangkan.
Seterusnya istilah hiwar pula, dasar perkataannya ialah (Ha, Wau, Ra) yang mana mempunyai banyak cabangnya seperti Hawariyun dan Hurun Ain. Namun, bagi istilah al-hiwar ialah Hadis yajri bayn shakhsayn aw akthar fi al-amal al-qashasi au bayn mumathilayn au akthar ala al-masrah wa nahw yang bermaksud percakapan yang berlaku antara dua atau lebih individu mengenai sesuatu isu atau perkara tertentu (al-Zubayr 1991: 475 : Mujam al-Wasit 2004: 205). Jelas di sini akan makna hiwar tersebut, bahkan al-Mawsuat al-Arabiyah al-Muyasarah (1987: 743) terus meletakkan istilah hiwar itu adalah dialog. Dalam masa yang sama diletakkan juga unsur-unsur dalam hiwar atau dialog yang mana ia mengandungi penceritaan antara sekumpulan individu yang terlibat dan berlakunya juga pemindahan pemikiran.
Manakala, takrifan dialog oleh sarjana Muslim semasa pula, Ghazali Basri (1992: 53), (Muda et al. 2008: 289), (Ramli Awang 2008: 37) dan (Zulkiflee Haron et al. 2011: 275) bersepakat bahawa dialog ialah proses penyampaian antara dua atau lebih individu atau kumpulan yang mana sejajar dengan definisi dari sudut bahasa sebelum ini. Namun, Azizan Baharuddin melihat konsep dialog bukan sekadar proses penyampaian dua atau lebih pihak yang terlibat, tetapi dialog adalah suatu bicara dengan pihak yang berfikiran berbeza dengan tujuan utamanya belajar cara berfikir yang berlainan dan baru, suatu cara untuk melihat alam dan kehidupan orang lain (Rahimin et al. 2011: 93-94).
Sedikit berbeza dengan pandangan Ataullah Siddiqui yang melihat makna dialog adalah berbeza-beza mengikut disiplin ilmu golongan yang menakrifkannya. Menurutnya (1997: 56-57), dialog merujuk kepada perundingan, perbualan antara dua atau lebih pihak yang bertukar pandangan dengan harapan akhirnya menemui kesepakatan antara yang terlibat. Seterusnya dialog boleh juga merujuk kepada suatu komunikasi seseorang yang melibatkan percakapan dan pendengaran akan pandangan di hadapan segolongan orang ramai dengan tujuannya memupuk sifat saling menghormati antara satu sama lain dan mencari nilai-nilai yang boleh melahirkan kerjasama.
Selain itu, dialog juga merujuk kepada komunikasi dengan penganut agama-agama dan komuniti yang berbeza untuk memupuk persefahaman antara satu sama lain. Dialog juga ditakrifkan sebagai penglibatan dua atau lebih pihak yang berbincang akan pegangan dan akidah agama masing-masing, begitu juga kepada konflik-konflik yang mungkin tercetus antara agama dan melihat kerjasamanya yang boleh dilakukan antara mereka. Pengelasan terakhir makna dialog yang diberikan oleh Ataullah Siddiqui ialah, dialog adalah perkongsian dan pertukaran pandangan, dalam masa yang sama lahirnya juga usaha untuk saling memahami antara satu sama lain dan mengurangkan perbezaan dan konflik antara yang terlibat.
Berdasarkan perbincangan akan takrifan dan hakikat dialog antara agama di atas, jelas menunjukkan dalam konteks umum ini dialog antara agama adalah suatu bentuk komunikasi yang melibatkan pihak daripada pelbagai agama yang mana komunikasi tersebut menyentuh isu dan tajuk khusus serta matlamat akhir dialog antara agama adalah bermanfaat kepada semua pihak yang berdialog, juga melahirkan hubungan yang baik antara mereka. Jelas di sini bahawa dialog antara agama matlamat akhirnya bukan untuk menukar agama seseorang itu atau menyebabkan seseorang Muslim itu murtad, tetapi dialog ini sekadar melahirkan persefahaman dan penyelesaian ke atas sesuatu isu yang dibincangkan.
Seterusnya, dialog antara agama boleh berlaku secara formal atau tidak formal kalangan masyarakat kita. Kalau dilihat pada aspek dialog antara agama yang tidak formal contohnya, sesama jiran yang berlainan agama berdialog kerana membincangkan masalah sosial yang berlaku dalam kawasan mereka dan hasil perbincangan itu mereka melihat ada suatu penyelesaian yang boleh mereka sampaikan pula kepada ketua kampung sebagai tindakan.
Dalam konteks dialog antara agama yang berlaku secara formal dan terancang oleh organisasi dan agensi di Malaysia juga hampir sama yang mana pertemuan dan dialog berlaku tetapi perjalanannya ada protokol tersendiri. Mereka turut membincangkan isu-isu tertentu contohnya, seminar-seminar dialog antara agama yang telah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) adakan telah membincangkan isu- isu semasa seperti The role of Islamic civilization in fostering inter-religious understanding (1999) dan Enhancing the understanding of Islam for the media (2000). Dalam dialog tersebut, cetusan idea dan buah fikiran akan terlahir kalangan pihak tanpa dibatasi anutan agamanya kerana perbincangan itu bertujuan melahirkan resolusi dan ia bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Kesimpulannya, secara dasarnya takrifan dan hakikat dialog antara agama yang dibawa dan dipraktikkan dalam konteks Malaysia ini adalah bersifat mewujudkan persefahaman dan kerjasama kepada pihak yang terlibat dengan dialog dalam membincangkan isu-isu tertentu. Ini kerana sifat rakyat Malaysia adalah bersifat majmuk. Jadi dalam melahirkan Malaysia sebagai negara yang harmoni dan aman, persefahaman antara rakyat pelbagai agama, kaum dan bahasa ini perlulah dibina, antara caranya adalah melalui dialog antara agama.
KOMEN