KUALA LUMPUR 26 Dis. – Sekurang-kurangnya, 71 orang awam terbunuh dalam serangan udara selama 48 jam yang dilancarkan tentera pakatan Arab Saudi yang mensasarkan kumpulan pemberontak Houthi di Yaman.
Pada Isnin, beberapa serangan udara yang dilancarkan di Sanaa menyaksikan 11 orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita.
Laporan media tempatan pula melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh termasuk dua wanita di wilayah Hodeidah manakala empat yang lain terbunuh dalam serangan di wilayah Dhamar.
Beberapa serangan udara turut dilaporkan berlaku di daerah Arhab ketika satu tunjuk perasaan menentang keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel diadakan.
Buat masa ini belum ada sebarang komen dikeluarkan tentera pakatan Arab Saudi berhubung serangan 48 jam tersebut.
Dianggarkan lebih 18 juta penduduk tinggal di kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak dengan kesemuanya kini berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan perubatan.-ASTRO AWANI
KOMEN