KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menjadi contoh kepada dunia apabila keharmonian di negara ini berkembang lancar walaupun mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan bangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang menyaksikan penglibatan tamadun utama dalam arus pembangunan sosial dan politik.
Beliau berkata, warisan negara yang pelbagai menawarkan perspektif unik dan peluang berada di barisan hadapan dalam membentuk era baharu Tadbir Urus Etika Global.
“Paradigma baharu ini, mengambil pengajaran daripada tamadun kita yang kaya, menjanjikan untuk menjadi lebih inklusif dan mewakili penduduk global.
“Apabila kita merenung pelbagai cabaran sebelum ini, ia jelas bahawa kesemuanya membabitkan isu etika yang paling asas.
“Dengan menghayati kebijaksanaan Islam dan Konfusianisme, kita boleh berusaha untuk masa depan yang bukan sahaja maju dari segi teknologi tetapi juga dari segi moral,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dialog Islam-Konfusianisme 2023 di sebuah hotel, di sini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, konfusianisme dan Islam berkongsi penekanan yang sama berkaitan dengan idea pemerkasaan moral dan cara untuk merealisasikannya.
KEDAMAIAN
Malah, katanya, kedua-dua Islam dan konfusianisme juga menekankan kedamaian dalaman dan luaran.
“Wacana kita tentang kelestarian yang merupakan tonggak pertama Malaysia Madani, harus melangkaui kebimbangan di persekitaran.
“Ia penting untuk memahami bahawa hubungan antara manusia dan alam tidak hanya tentang kegunaan, tetapi tentang keterhubungan yang mendalam dan rasa hormat.
“Dalam memahami hubungan ini, kita dapati asas kepada banyak cabaran global kita adalah cabaran hasil tindakan dan keputusan manusia,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, seminar Islam-Konfusianisme boleh menjadi antara platform dalam cuba memahami dan memberi penilaian lebih positif terhadap kedua-duanya.
“Jadi ini cara kita memperkukuh perpaduan dan semangat baru.
“Berbeza dengan perkembangan yang ada sekarang yang disebut politik identiti melihat kepada satu kaum, agama kemudian turut menyerang dan menimbulkan ketegangan dan permusuhan.
“Maknanya bukan baru, 28 tahun kita anjurkan (dialog Islam-Konfusianisme). Saya fikir ini sesuai untuk negara dan rantau,” katanya.- UTUSAN
KOMEN