KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, meminta orang ramai tidak cepat menuduh atau beranggapan pusat zakat tidak memainkan peranan sepatutnya.
Dalam beberapa kemas kini di Twitter, beliau menasihatkan khalayak agar tidak hanya melihat satu perkara seperti yang dipaparkan di media sosial semata-mata.
“Di Wilayah Persekutuan, 25,000 asnaf terima bantuan zakat bulanan. Ada 30 skim tersedia. Dilaporkan di medsos (media sosial).
“Kemudian, ada yang berkata ‘kalau tak viral di Twitter, entahlah dapat bantuan ke tak’.
“Log out dan lihat sekeliling. Dunia luar lebih luas. Tidak hanya di media sosial,” tulis beliau.
Menggunakan tanda pagar #KamiAda, beliau turut menjelaskan situasi pada bulan Januari 2021 di Wilayah Persekutuan, di mana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan RM11.08 juta dana zakat bagi program membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Ini MAIWP sahaja untuk Januari 2021. Belum campur lagi agensi-agensi lain di bawah saya.
“Esok saya akan umum jumlah penuh,” katanya.
Beliau juga menafikan agensi agama dan pusat zakat tidak aktif di media sosial, sebaliknya meminta orang ramai merujuk Facebook Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP dan Baitulmal MAIWP, serta media sosial agensi pengurusan zakat negeri bagi mengetahui maklumat berkaitan.
“Saya sarankan ikuti media sosial FB PPZ MAIWP dan Baitulmal MAIWP. Ikuti juga media sosial agensi mengurus zakat negeri-negeri lain.
“Untuk bantuan selain zakat, rujuk YaPEIM, YADIM dan lain-lain. Di situ, boleh kita maklum sama ada jarang atau tidak dikemas kini atau sebaliknya,” ujarnya lagi.
KOMEN