Home » Langit Terbuka » Tak Ketepikan Hak Bumiputera – Azmin

Tak Ketepikan Hak Bumiputera – Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa sahaja dasar yang dilakukan kerajaan, ia berdasarkan keperluan menyeluruh dan bukannya mengikut kaum.

KUALA LUMPUR – Penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan dilaksanakan kerajaan masih menjamin hak Bumiputera, selain berlaku adil terhadap keperluan semua kaum lain di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa sahaja dasar yang dilakukan kerajaan, ia berdasarkan keperluan menyeluruh dan bukannya mengikut kaum.

Beliau berkata, pengagihan ekonomi mesti dilakukan secara adil dan saksama kepada rakyat seluruh Malaysia tanpa mengetepikan hak dan keperluan Bumiputera.

“Kita mesti juga berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia sebab ada keperluan untuk masyarakat India di kawasan ladang dan luar bandar, peniaga Cina juga perlukan perhatian kerajaan.

“Golongan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak juga perlu mendapat perhatian serius daripada kerajaan,” katanya kepada media di lobi Bangunan Parlimen, hari ini.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menjawab soalan media apakah penelitian semula DEB dan MED bermaksud kerajaan akan menghapuskan sebarang dasar melindungi hak Bumiputera di negara ini.

Mohamed Azmin dalam laporan BH hari ini berkata, penjajaran semula kedua-dua dasar itu sama ada ia masih relevan atau sebaliknya bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi negara mapan dan berupaya menjamin pengagihan yang adil.

Dalam jawapan bertulis kepada William Leong Jee Keen (PH-PKR Selayang) di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan hala tuju pembangunan sosio-ekonomi negara.

Beliau berkata, penyediaan dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dijajarkan semula dengan hala tuju baharu dan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan perubahan tampuk kerajaan pada 10 Mei lalu.

Ditanya, bilakah ia akan dilaksanakan, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, perkara itu sedang dilihat Unit Perancang Ekonomi.

“Diharapkan sebahagiannya dapat diperkenalkan pada penilaian separuh penggal yang akan dibentangkan pada November ini.

“Sekarang kami sedang merangka pelan untuk tempoh lima tahun, tetapi apabila kita bercakap mengenai polisi kestabilan ekonomi, ia tentunya mengambil masa lebih lama daripada itu.

“Sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020, ia pelan jangka panjang untuk hari ini,” katanya. – HARIAN METRO ONLINE

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/361243/tak-ketepikan-hak-bumiputera-azmin

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *