KUALA ROMPIN 3 Jan. – Agihan bantuan kepada mangsa banjir perlu adil supaya tidak berlaku ada mangsa yang layak tercicir daripada bantuan disediakan.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, semua pihak terlibat termasuk NGO dan parti politik perlu bekerja sebagai satu pasukan supaya tidak berlaku pertindihan dalam aspek bantuan dan tidak merugikan masa.
Baginda turut mengingatkan agar bantuan yang disalurkan untuk mangsa banjir hanya diberikan untuk golongan itu sahaja.
“Tidak kira makanan atau sebagainya, janganlah ada pihak ambil kesempatan, jika perkara seperti ini terjadi maka dari segi agama ia tak halal.
“Hak orang lain, ia untuk mangsa dan keluarganya yang merupakan mangsa banjir, jika ambil juga bawa balik tentu tidur tak nyenyak,” titahnya ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada 63 daripada 16 keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Sepayang, di sini, hari ini.
Hadir sama mencemar duli Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin; Adun Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Adun Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.
Dalam pada itu, baginda turut menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada mangsa banjir kerana mereka tertekan menghadapi bencana yang ada sebahagiannya melaluinya setiap tahun.
“Saya merasai kesusahan mereka, kita berilah bantuan yang termampu, saya juga mengalu-alukan pihak swasta dan individu yang mahu memberi bantuan,” titahnya lagi.
Dalam memastikan tiada wabak penyakit berlaku, baginda menasihatkan mangsa banjir agar menjaga kebersihan di PPS dan menggesa pihak Jabatan Kesihatan membuat pemantauan.
Baginda turut memuji pihak kerajaan negeri yang tahun demi tahun melakukan penambahbaikan dari segi persiapan dan menyediakan SOP yang baik serta berkesan.
“Kita akan terus perbaiki sistem yang ada agar semua pihak khususnya mangsa banjir berasa lebih selesa dan selamat,” katanya.
Sehingga jam 12 tengahari tadi seramai 633 mangsa daripada 168 keluarga di daerah Rompin berada di sembilan pusat pemindahan sementara.- SINAR HARIAN
KOMEN