KUANTAN – Siapa kata pelajar tahfiz dunia mereka hanya berteleku mengadap al-Quran siang malam untuk menghafaz kesemua juzuk.
Di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang terletak di sini, para huffaz masih ada masa bermain golf. Ya GOLF…sukan yang dianggap untuk orang kaya.
Bukan setakat main untuk suka-suka, sebaliknya penglibatan mereka sudah pada pertandingan golf peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Hebat bukan?
Para huffaz tidak perlu keluar dari kawasan tahfiz, sebaliknya padang golf dan driving range dibina dalam kawasan MTNP menjadikan maahad itu satu-satunya pusat hafazan di negara ini yang ada kemudahan tersebut.
MTNP membina sendiri padang golf apabila mendapati ada pelajarnya yang pernah terlibat dalam sukan itu sehingga peringkat MSSP dan MSSM.
Perancangan pusat itu sekarang adalah untuk melatih huffaz berkenaan sehingga muncul sebagai pemain golf kebangsaan dan suatu hari nanti sehingga peringkat antarabangsa.
Itu juga salah satu dakwah yang boleh dilakukan oleh para huffaz untuk memperlihatkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam.
Dengan tenaga pengajar berpengalaman dan kemudahan latihan yang lengkap, insya-Allah impian itu menjadi kenyataan. – Utusan Malaysia.
KOMEN