Home » Langit Terbuka » Tabung Haji lancar Hibah Amanah

Tabung Haji lancar Hibah Amanah

KUALA LUMPUR 11 Mei: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan produk ‘Hibah Amanah’ bagi membantu lebih sembilan juta pendeposit menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata produk itu dapat membantu mengatasi masalah wang simpanan tidak dituntut selain mengelakkan perebutan harta apabila berlaku kematian.

Katanya, pemberian harta Hibah Amanah daripada akaun simpanan TH oleh pendeposit semasa hidupnya kepada penerima Hibah Amanah adalah atas dasar kasih sayang, sukarela, tanpa paksaan dan tanpa mengenakan sebarang balasan. Harta Hibah Amanah adalah wang akaun TH dengan akad pada nilaian RM1,000 ke atas.

“Produk unik ini dilihat memberi kelebihan kepada para pendeposit bersifat sejagat kerana tidak mengira bangsa dan agama.

“Produk Hibah Amanah, yang bersifat terancang ini juga memberi peluang kepada para pendeposit atau saudara baru (mualaf) yang tiada waris beragama Islam seperti yang disyaratkan dalam konsep penamaan terdahulu,” katanya di sini.

Pemberi Hibah Amanah masih boleh menikmati faedah, membuat urus niaga dan mendapat semua manfaat daripada harta Hibah Amanah yang telah dihibahkan itu selama mana pemberi Hibah Amanah masih hidup.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, TH menyasarkan 50,000 pendaftaran bagi produk terbaharu itu pada tahun pertama. “Permohonan Hibah Amanah TH boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara,” katanya. – https://www.bharian.com.my/node/281604

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *