Home » Langit Terbuka » Tabung Haji Agih Keuntungan 3.1 Peratus Kepada Pendeposit

Tabung Haji Agih Keuntungan 3.1 Peratus Kepada Pendeposit

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus yang akan memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendepositnya melibatkan jumlah agihan RM2.46 bilion.

Dalam kenyataan TH hari ini, jumlah keuntungan yang diagih bagi tahun 2021 adalah RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion yang telah diagih bagi tahun kewangan 2020.

Jelasnya, agihan keuntungan tersebut adalah selepas mengambil kira zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit TH yang mana mereka tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.

“Agihan keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya faktor di mana kadar agihan bagi tahun 2021 adalah lebih tinggi dari purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus.

“Kadar tersebut telah mengambil kira peruntukan zakat sebanyak RM107 juta yang akan dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, kadar pulangan tahun 2021 juga adalah selepas mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas.

Kadar pulangan tersebut juga menjadi keperluan untuk TH bagi mengagihkan keuntungan secara berhemah dan mampan mengikut kemampuannya termasuk membina pegangan rizab bagi mempastikan kedudukan kewangan TH terus kukuh untuk masa hadapan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad menzahirkan rasa syukur atas agihan keuntungan yang kompetitif berbanding kadar pasaran walaupun pelaburan TH terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang sukar dan masih terkesan dari pandemik COVID-19 yang berterusan pada tahun 2021.

“Alhamdulillah pulangan ini juga telah mengambil kira zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit. Insya-Allah, selain mendapat keberkatan membantu rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji, pendeposit juga beroleh barakah melalui program zakat yang diatur TH.

“Pada tahun 2021, lebih 200,000 asnaf telah menerima pelbagai bantuan dan manfaat secara terus dari program zakat wakalah diurus TH,” katanya.

Sehubungan itu, TH akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi operasi, tadbir urus dan kedudukan kewangannya memandangkan keadaan ekonomi negara semakin beransur pulih setelah pergerakan dan aktiviti perniagaan dibenarkan secara berperingkat dari suku ketiga tahun 2021. Ekonomi negara pula dijangka akan terus berkembang pada tahun 2022.

Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Jumaat, 25 Feb 2022 sehingga pukul 12 tengah hari, Sabtu, 26 Feb 2022, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, Ahad, 27 Feb 2022 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *