Ekonomi dunia tanggung kos kesihatan RM4.47 trilion
GENEVA 10 Jan. – Tabiat merokok menyebabkan ekonomi dunia terpaksa menanggung kos kesihatan lebih AS$1 juta trilion (RM4.47 trilion) setahun dan bakal membunuh lapan juta atau sepertiga penduduk dunia menjelang 2030 berbanding pada masa ini.
Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), kos berkenaan adalah lebih tinggi berbanding keuntungan cukai tembakau yang dianggarkan oleh WHO sebanyak AS$269 bilion (RM1.20 trilion) antara 2013 hingga 2014.
“Kematian yang mempunyai kaitan dengan tembakau dijangka meningkat daripada kira-kira enam juta setiap tahun kepada lapan juta menjelang 2030 dengan lebih 80 peratus daripadanya berlaku di negara-negara yang berpendapatan sederhana dan rendah,” menurut laporan kajian setebal 688 muka surat itu.
Kira-kira 80 peratus perokok dunia menetap di negara-negara berkenaan dan walaupun tabiat merokok semakin berkurangan namun jumlah perokok di seluruh dunia telah meningkat.
Pakar kesihatan berkata, kempen pencegahan paling besar yang sedang diusahakan adalah memfokuskan kepada penggunaan tembakau.
“Tembakau bertanggungjawab terhadap kos penjagaan kesihatan berjumlah RM4.47 juta trilion dan kehilangan produktiviti setiap tahun,” menurut kajian itu yang telah berulang kali dikaji lebih 70 pakar saintifik.
Kos ekonomi dijangka berterusan meningkat, walaupun negara-negara dunia mempunyai pendekatan untuk mengurangkan penggunaan tembakau dan kematian yang berkaitan dengannya, namun kebanyakan pendekatan itu gagal dilaksanakan secara berkesan.
“Kebimbangan mereka bahawa kawalan tembakau akan memberi kesan lebih buruk kepada ekonomi tidak disertakan dengan bukti sahih. Bukti sains adalah jelas. Sekarang adalah masa untuk bertindak,” menurut kajian berkenaan.
Polisi berkesan dan murah termasuk meningkatkan cukai dan harga tembakau, polisi bebas rokok yang menyeluruh, pengharaman sepenuhnya pasaran syarikat tembakau dan label amaran bergambar yang menarik perhatian.
Menurut WHO, negara-negara dunia membelanjakan kurang daripada RM4.47 bilion terhadap kawalan tembakau sepanjang 2013 hingga 2014.
Dalam pada itu, peraturan tembakau kini tergugat berikutan pertikaian perdagangan yang ditimbulkan oleh Cuba, Indonesia, Honduras dan Republik Dominica terhadap undang-undang pembungkusan yang ketat oleh Australia.
Undang-undang itu menguatkuasakan piawaian rekaan produk tembakau dan mengharamkan logo tersendiri dan jenama berwarna-warni.
WHO dijangka membuat keputusan tentang perkara itu tahun ini.
Polisi Australia kini dipantau secara dekat oleh negara lain yang turut bercadang melaksanakan polisi sama termasuk Norway, Slovenia, Kanada, Singapura, Belgium dan Afrika Selatan. – REUTERS
– https://www.utusan.com.my
KOMEN