Home » Langit Terbuka » Tabah berpuasa lebih 19 jam di Jerman

Tabah berpuasa lebih 19 jam di Jerman

Fauziah Mawasi bersama suami Ismail Sani dan anaknya Adika Noah, 4, antara Muslim di bumi Jerman yang menjalani ibadah puasa lebih dari 19 jam sepanjang Ramadan ini yang jatuh pada musim bunga. Bekas pereka grafik itu menetap di Hamburg sejak 2013 bersama suami yang bekerja di bandar ini sebagai jurutera beranggapan tahun ini adalah antara tempoh berpuasa paling panjang yang mereka pernah lalui.--foto BERNAMA

KULIM 26 Mei – Mengharungi ibadah puasa lebih 19 jam di rantau orang pastinya memerlukan kecekalan mental dan fizikal.

Bagi Fauziah Mawasi, 38, sambutan Ramadannya di Hamburg, Jerman kali ini lebih indah memandangkan negara itu sedang berada di pertengahan musim bunga.

“Sejak menetap di Hamburg sejak 2013 bersama suami, Ismail Sani, 52 yang bekerja di bandar ini sebagai jurutera, tahun ini adalah antara tempoh berpuasa paling panjang yang saya lalui iaitu lebih 19 jam.

“Memang mencabar terutama kini suhunya sudah semakin panas tetapi semangat Ramadan itu membuatkan saya gembira melaluinya bersama keluarga dan rakan-rakan di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas pereka grafik di sebuah syarikat penerbitan akhbar itu berkata pengalaman berpuasa di rantau orang yang tidak dapat dilupakan adalah ketika mengandung dan melahirkan anaknya, Adika Noah pada bulan Ramadan pada tahun 2014.

“Masa tu musim panas dan memang mencabar kerana tempoh siangnya agak panjang. Bukan saja faktor mengandung dan cuaca, saya juga perlu kuatkan mental untuk menghadiri kelas bahasa,” katanya.

Menyentuh juadah berbuka, Fauziah memilih untuk memasak sendiri makanan seperti roti jala, nasi minyak atau nasi lemak berbanding makan di luar.

Jelasnya, kedai yang menjual kelengkapan masakan dari Asia yang banyak terdapat di bandar Hamburg memudahkannya menyediakan masakan Melayu sepanjang Ramadan atau hari-hari biasa.

“Paling utama, kena kreatif menggunakan bahan rencah masakan yang sudah tentu tak sama seperti di tanah air. Jujurnya, saya memang rindu dengan bazar Ramadan, moreh dan masakan tradisional yang dimasak lengkap dengan rempah ratus mengikut resepi asal.

“Tetapi, semuanya sedikit terubat apabila ada masa-masa tertentu, kita buat makan-makan bersama rakyat Malaysia yang sama menetap di sini. Masa itu, dapatlah rasa dan lepaskan rindu pada juadah di negara sendiri,” katanya. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *