Home » Langit Terbuka » Syor undang-undang khas institusi agama negeri

Syor undang-undang khas institusi agama negeri

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

GOMBAK 15 Feb – Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengesyorkan penubuhan undang-undang khas khusus untuk institusi agama di Malaysia.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, undang-undang itu perlu bagi memastikan hak institusi agama seperti Majlis Agama Islam negeri, isu wakaf dan Mahkamah Syariah dipelihara.

“Semua perkara itu perlu kita asingkan, dan tidak diletakkan dalam satu undang-undang sahaja. Ia menjadikan ia superficial.

“Kita perlu ada enakmen kepada Mahkamah Syariah sendiri. Kita juga perlu ada prosedur yang khusus, enakmen wakaf dan semua tidak boleh diletakkan dalam enakmen iaitu pentadbiran sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Ismaweb.net pada Simposium Keputusan Mahkamah Persekutuan Berhubung Kes Indira Ghandi, di sini hari ini.

Isu status agama anak-anak Muhammad Ridhuan Abdullah dan M Indira Gandhi hangat diperbahaskan kebelakangan ini, selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan untuk membatalkan penukaran agama tiga anak mereka kepada Islam.

Menerusi 99 muka surat penghakiman, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Berbeza dengan kes Subashini a/p Rajasingam melawanSaravanan a/l Thangathoray pada 2007, Mahkamah Persekutuan telah memberikan hak sama rata kepada semua .

Mahkamah ketika itu memberikan hak kepada Mualaf yang baru memeluk Islam untuk menentukan agama anaknya, dan juga hak pasangannya yang bukan Islam untuk membantah–serta tak dilupakan kepentingan kanak-kanak itu sendiri, yang kesemuanya akan diambil kira.

Zainul Rijal tidak menafikan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes berkenaan akan menjejaskan hak seorang mualaf.

Namun katanya, isu lebih besar dilihat beliau ketika ini adalah kedudukan Mahkamah Syariah itu sendiri, yang juga memberi kesan kepada perundangan Syariah.

“Kita memang perlu bersifat adil kepada kedua belah pihak. Tetapi dalam keadaan Mahkamah Syariah yang diikat, ia hanya boleh membuat keputusan kepada orang Islam sahaja.

“Bagaimana kita mahu mendapatkan keadilan di dalam Islam yang begitu cantik untuk Mahkamah Syariah laksanakan. Kita ikat tangan Mahkamah Syariah hanya untuk orang Islam sahaja, sedangkan keadilan Islam itu lebih luas,” katanya. – ISMAWEB

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *