KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan menubuhkan Jawatankuasa Menteri bagi memberi tumpuan secara menyeluruh berhubung masalah dadah, sekali gus mencari pendekatan serta strategi baharu bagi menangani ancaman itu.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata jawatankuasa peringkat tertinggi itu harus membabitkan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau timbalan beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Pembentukan jawatankuasa itu bertujuan supaya hasil perbincangan diambil berat oleh setiap pihak. Jawatankuasa itu boleh membuat cadangan untuk menangani masalah dadah dan memastikan pelaksanaannya dibuat dengan berkesan.
“Saya berharap Jawatankuasa Menteri itu dapat mencari kaedah dan pendekatan lebih berkesan untuk menangani masalah dadah merangkumi semua aspek terutama pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan serta kerjasama antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Lam Thye berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mengkaji semula strategi dan pendekatan yang sudah diambil serta melihat keberkesanannya bagi memerangi masalah dadah.
“Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa program mencegah penyalahgunaan dadah di negara ini masih belum memenuhi objektifnya walaupun banyak peruntukan disalurkan untuk tujuan itu.
“Beliau berkata penagih dadah masih menjadi golongan majoriti banduan di negara ini dan laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menunjukkan 25,922 kes penyalahgunaan dadah dikesan tahun lalu membabitkan 18,440 kes baharu dan 7,482 kes berulang.
“Kebimbangan dizahirkan Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah wajar dan saya sendiri amat konsisten mendesak pihak berkuasa berkaitan mengkaji semula usaha dan strategi mereka menangani masalah dadah yang masih kekal musuh nombor satu negara sejak 1980-an,” katanya. – Berita Harian
KOMEN