Pensyarah undangan – Dr. Hisham A. Hellyer
PUTRAJAYA 16 Jan. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui Kluster Hak Asasi Manusia dan Undang-undang, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) YADIM dengan kerjasama Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) akan menganjurkan suatu Syarahan Khas Islam dan Hak Asasi Manusia pada 17 Januari 2018 (Rabu) pada jam 10.30 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Bilik Latihan YADIM, Aras Bawah, Blok D, Presint 3, Kompleks Islam Putrajaya (KIP).
Syarahan di dalam bahasa Inggeris bertajuk “The Realization of Human Rights in the Muslim World: Lessons from the Islamic Tradition” akan disampaikan oleh sarjana muslim terkemuka, Dr. Hisham A. Hellyer yang merupakan Felo kanan (bukan residen) di RH Centre for the Middle East, Atlantic Council di Washington DC dan Felo bersekutu di dalam Pengajian Keselamatan Antarabangsa, Royal united Services Institute di London.
Syarahan ini bertujuan untuk meneliti sumbangan tradisi Islam di dalam merealisasikan pembelaan hak asasi manusia di dalam dunia Islam. Umum mengetahui bahawa mutakhir ini isu hak asasi manusia telah menjadi begitu rancak dibincangkan di pelbagai platform dengan dua pandangan utama iaitu, yang mewakili tamadun Barat yang mengabsahkan kebebasan individu tanpa batasan di suatu pihak, dan hak asasi manusia dan kebebasan berprinsip Islam yang menumpukan juga pada soal tanggungjawab insan terhadap Tuhan, keluarga dan masyarakat di sekelilingnya.
Di Malaysia khususnya, wacana tentang peranan dan sumbangan tradisi Islam di dalam membela hak asasi manusia perlu diperkukuh memandangkan Negara ini sedang berdepan dengan desakan untuk merubah pelbagai asas-asas kenegaraan.
Pada tahun ini, Malaysia akan sekali lagi menjalani proses Semakan berkala Sejagat (Universal Periodic Review) yang meletakkan Malaysia dalam fokus dan perhatian pelbagai negara dan pemegang kepentingan (stakeholders) termasuk oleh mereka yang merancang membuat pelbagai tuntutan melampaui batas dan norma kemanusiaan serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah.
Malaysia perlu memperkukuhkan acuan hak asasi manusia yang mendukung prinsip-prinsip menurut rangka Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah serta pelbagai panduan yang lebih mematuhi realiti agama, sejarah dan latarbelakang kebudayaan masyarakat seperti yang terzahir di dalam Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia di dalam Islam 1990 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012. Iktibar dari tradisi Islam pada hakikatnya dapat membantu kearah usaha pengukuhan ini.
Adalah diharapkan agar Syarahan Khas Islam dan Hak Asasi Manusia 2018 ini akan dapat memberikan manfaat kepada khalayak ramai dan membuka ruang perbincangan yang lebih meluas berhubung tema yang dibincangkan.
KOMEN