Home » Wacana » Surah al-Sajadah: manifestasi ketundukan dan penyerahan jiwa

Surah al-Sajadah: manifestasi ketundukan dan penyerahan jiwa

Oleh AMIZA KHUSYRI YUSOF

Amiza Khusyri Yusof adalah Pegawai Pendidikan Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan

Surah ini adalah surah yang biasa kita baca atau dengar ketika menjadi makmum atau biasa kita baca sekiranya menjadi imam ketika solat subuh pada hari Jumaat, hari kebesaran umat Islam. Kandungan surah ini sudah boleh diketahui melalui nama al-Sajadah yang bermaksud ketundukan dan penyerahan. Surah yang menghiasi penghulu segala hari bagi umat Islam ini menjadi manifestasi terhadap permulaan hari yang penuh berkat bersama ketundukan jiwa dan pengharapan sepenuhnya kepada Allah SWT. Surah ini turun selepas surah al-Mukminun dan mempunyai satu ayat sajadah iaitu pada ayat yang kelima belas.

Surah ini dimulakan dengan karakter al-Quran sebagai peringatan dan penjelasan yang benar kepada seluruh manusia. Al-Quran menjadi benteng terhadap segala kesesatan kerana al-Quran berperanan memindahkan sebarang bentuk keraguan jiwa kepada sebuah keyakinan yang mantap dan kukuh. Al-Quran menjadi peringatan kepada manusia yang lalai dan leka serta akhirnya menjadi petunjuk kepada jalan yang benar dan lurus.

Allah memperkenalkan diri-Nya dalam surah ini sebagai Pencipta alam ini dari tiada kepada ada. Sedangkan kita manusia hanya mampu mencipta dari ada kepada ada yang lain meski sehebat mana pun tahap intelektual atau IQ kita. Allah mencipta dengan kesempurnaan dan memberikan identiti yang unik untuk setiap makhluk ciptaan-Nya. Sedangkan kita manusia mencipta sesuatu dengan penuh kekurangan dan kelemahan di sana-sini.

Perhatikan bagaimana Allah menciptakan suara setiap manusia di dunia ini berbeza di antara satu sama yang lain. Perhatikan cap jari yang berbeza meskipun pada kembar seiras yang sukar dibezakan rupanya. Perhatikan dalam setandan pisang, setiap biji berbeza rasanya meskipun tumbuh melalui akar dan benih yang sama.

Orang yang menyesal

Orang yang tidak mahu sujud kepada Allah di dunia akan sujud kepada Allah di akhirat tetapi sujudnya itu sudah tidak berguna lagi malah mengundang azab yang pedih daripada Allah SWT. Perhatikan ayat berikut: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): ‘Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (al-Sajadah: 12).

Allah menggambarkan dalam ayat ini bagaimana mereka yang mengingkari Allah dan Rasul-Nya menjadi orang yang menyesal dan bermohon kepada Allah untuk dihidupkan semula ke dunia untuk kembali beramal kerana telah yakin. Namun, keyakinan mereka itu sia-sia dan Allah SWT menegaskannya melalui ayat ini:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian).” (al-Sajadah: 29).

Ayat ini memberi teladan kepada kita supaya tidak menjadi orang yang kufur dan akhirnya menyesal di akhirat kelak. Kesempatan yang Allah kurniakan kepada kita di dunia ini menjadi suatu peluang untuk kita bersungguh beramal dengan rasa penuh pengharapan dan cinta kepada-Nya.

Indera yang Allah nyatakan dalam ayat ke-12 ialah mata dan telinga, yang digunakan untuk melihat dan mendengar petunjuk serta hati untuk meyakini. Berapa ramai manusia yang ‘buta’ dari melihat petunjuk Allah terutama melalui ayat-ayat manzurah pada penciptaan alam ini, dan berapa ramai pula yang ‘pekak’ dari mendengar petunjuk Allah melalui ayat maqru’ah pada al-Quran yang dibaca, tazkirah dan ceramah serta nasihat dan teladan yang diberitakan. Akhirnya hati menjadi ‘tidak mahu’ untuk memahami petunjuk-petunjuk-Nya.

Allah menegaskan perkara ini melalui firman-Nya: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (al-A‘raf: 179).

Allah menyamakan manusia yang tidak menggunakan indera mata, telinga dan hati (akal) ini dengan binatang ternak kemudian membuat penggerunan dengan mengatakan bahawa mereka boleh menjadi lebih sesat sebab kelalaian dan kelekaan mereka itu. Justeru pada ayat yang ke-11 Allah menerangkan tentang kematian supaya orang yang leka tersedar dari kelekaan mereka dan segera bangun untuk kembali sujud kepada-Nya.

“Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan).” (al-Sajadah: 11).

Hamba-Nya yang bersujud

Allah SWT memberikan penegasan tentang ciri-ciri orang beriman yang sebenar iaitu orang yang benar-benar dalam ketundukan dan berserah jiwa sepenuhnya kepada Allah. Perhatikan ayat sajadah ini: “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.” (al-Sajadah: 15).

Allah berfirman dalam ayat ini dengan menyatakan bahawa orang yang sebenar-benar beriman itu adalah orang yang bersujud iaitu taat dan patuh kepada Allah apabila berinteraksi dengan petunjuk daripada-Nya sama ada petunjuk manzurah atau maqru’ah. Maksud sujud itu ternyata bukan sahaja pada jasad yang rela, tetapi yang paling penting ialah pada hati dan jiwa yang turut sama bersujud.

Hati yang sujud adalah hati yang tawaduk dan jauh dari sifat takbur atau membesarkan diri. Menghalakan puji dan pujanya hanya kepada Yang Maha Sempurna, matlamat yang satu-satunya berkelayakan untuk dipuji dan dipuja. Hati yang sujud akan menggerakkan lidah untuk selalu bertasbih membesarkan yang disujud (Allah) serta selalu mengangkat takbir menunaikan solat dengan khusyuk dan penghayatan.

Dalam ayat yang seterusnya, Allah SWT menerangkan secara lebih jelas kecenderungan amal dan sifat orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.”(al-Sajadah: 16).

Ayat ini menerangkan dengan lebih terperinci tentang sifat orang yang benar-benar beriman kepada Allah iaitu orang yang sedikit tidurnya kerana bangun malam dan mengerjakan tahajud.Orang yang sibuk mengerjakan amal soleh dan tidak pernah lupa meminta kepada Allah dengan hati yang ketakutan pada kemurkaan Tuhan dan ingin segera kembali ke landas keredaan-Nya.

Tidur dan tempat tidur menjadi isyarat kerehatan bagi kebanyakan orang tetapi bagi orang yang beriman mereka menolak tidur yang banyak kerana kecintaan mereka pada ibadah, ketakutan pada neraka dan keghairahan untuk meraih nikmat syurga.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *