SAMARAHAN – Membesarkan anak anak tanpa pekerjaan tetap memberikan cabaran yang cukup besar, apatah lagi jika yang memikul tanggungjawab tersebut adalah seorang ibu tunggal.
Namun itulah yang dihadapi Nayah Sedi dari Kampung Tambirat di sini. Tanpa sumber pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, wanita ini berusaha gigih membesarkan lima anaknya termasuk seorang Orang Kelainan Upaya. Kehidupannya boleh dikatakan begitu perit hingga ada ketikanya terpaksa meminjam beras untuk mengalas perut anak anaknya.
Kesukaran Nayah mendapat perhatian Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sarawak ketika berkunjung ke Kampung Tambirat pada 6 Mac lalu. Menurut Nayah, dia tidak mahu bergantung dan menyusahkan sesiapa, malah jika boleh mahu berniaga kecil kecilan di hadapan rumahnya bagi menampung pendapatan keluarganya.
Prihatin dan terharu dengan ketabahan wanita ini, YADIM Sarawak membuka infaq daripada orang ramai bagi membeli barang-barang keperluan berniaga untuk membantunya memulakan perniagaan.
Syukur Alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan. Hasil daripada infaq dan sumbangan YADIM, pada 14 Mac telah disampaikan sumbangan berbentuk barang peralatan berniaga kepada Nayah berjumlah RM1,300.
Antara barangan yang disampaikan ialah kanopi 10 kaki x10 kaki, meja lipat, dua buah kerusi, periuk nasi elektrik, kuali, senduk, tong gas, dapur masak, tong nasi, dua unit tong air minuman, kertas nasi lemak, set cawan plastik, dua beg beras, telur, minyak masak dan lain-lain barang serta wang saku untuk modal beliau memulakan perniagaan.
Beliau menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada YADIM Sarawak dan ahli Sukarelawan YADIM atas bantuan yang telah diberikan kerana ia sangat bermakna lebih-lebih lagi dengan kedatangan Ramadan tidak lama lagi.
KOMEN