Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor Dukacita Raja-Raja Melayu Dihina

Sultan Selangor Dukacita Raja-Raja Melayu Dihina

Sultan Sharafudin Idris Shah bertitah sempena majlis berbuka puasa dan perasmian Masjid Al-Falah di Jalan Kebun, Klang

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang sejak kebelakangan ini secara terbuka menghina dan memperlekeh­kan institusi raja, bagi menghasut serta mempengaruhi rakyat agar membenci raja-raja Melayu.

Lebih mendukacitakan, Sultan Sharafuddin bertitah, hasutan bagi membenci raja-raja Mela­yu itu dilakukan oleh segelintir orang Melayu.

“Penularan budaya ini dalam kalangan pihak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat kepada raja-raja Melayu terhakis,” titah baginda sempena majlis berbuka puasa dan perasmian Masjid Al-Falah di Jalan Kebun, semalam

Berikut sedutan titah Sultan Sharafuddin:

Beta menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor agar terus bersatu padu dan mengukuhkan keharmonian sesama kita tidak mengira pangkat, darjat, usia, bangsa atau agama. Beta harap di bulan yang mulia ini kita menambahkan ibadat dan perkara-perkara yang penting untuk kese­jahteraan negeri Selangor yang dikasihi.

Rakyat juga perlu membantu dan menyumbang untuk kemajuan negeri dan negara. Jangan hanya pandai mengkritik, mengecam, mencela dan mencaci ter­utamanya di media-media sosial kerana ia bukan sahaja menyakit­kan hati orang lain tetapi juga akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan pembangunan negara.

Beta amat merasa dukacita kerana sejak kebelakangan ini ada pihak-pihak yang secara terbuka menghina dan memperlekehkan institusi raja bagi menghasut dan mempengaruhi rakyat untuk membenci raja-raja Melayu.

Apa yang lebih mendukacitakan adalah kerana hasutan bagi membenci raja-raja Melayu ini dilakukan oleh segelintir orang Melayu sendiri.

Peranan institusi raja adalah bagi memelihara dan mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam serta kaum-kaum lain di negara ini. Penularan budaya ini di kalangan pihak-pihak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci raja-raja Mela­yu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat kepada raja-raja Melayu terhakis.

Beta menegaskan di sini bahawa institusi raja mempunyai peranan di dalam sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini serta sentiasa mendokong prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beta berkenan supaya semua orang Melayu Islam khususnya di negeri Selangor ini supaya mengelakkan perbalahan sesama sendiri yang boleh membawa kepada per­pecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

Agama Islam mengutamakan nilai-nilai positif di dalam diri seseorang umatnya dan juga menyeru umatnya bersikap berbaik sangka, bersatu-padu, bertolak ansur serta sentiasa bersedia untuk memaafkan serta membantu antara satu sama lain. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *