Home » Langit Terbuka » Sultan Selangor dukacita penyebaran berita palsu

Sultan Selangor dukacita penyebaran berita palsu

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melahirkan rasa dukacita baginda melihat penyebaran berita-berita palsu yang mendorong gejala fitnah semakin berleluasa.

Baginda bertitah, fitnah kini direka dengan sewenang-wenangnya dan disebarkan dalam tempoh yang pantas menerusi medium internet.

“Segelintir individu tidak segan silu mengatakan perkara tidak benar dengan niat jahat, seterusnya menabur fitnah tanpa memikirkan kesan buruk daripada fitnah mereka itu.

“Di zaman serba moden dan canggih ini, ada alatan atau gajet yang boleh memaparkan berita-berita dari media sosial yang sering ditonton oleh masyarakat untuk mendapatkan apa juga maklumat dan berita terkini melalui internet.

“Kemudahan ini sepatutnya digunakan dengan baik dan positif. Malangnya, internet kini digunakan untuk menyebarkan maklumat-maklumat tidak benar dan berita-berita palsu atau “fake news.”

“Disebabkan maklumat yang disalurkan melalui internet kebanyakannya tidak ditapis, ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya untuk kepentingan sendiri tanpa memikirkan kesan buruk yang boleh berlaku,” titah baginda.

Baginda bertitah di Majlis Perasmian Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam dan Menaik Taraf Kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda dukacita

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga bertitah bahawa baginda amat berdukacita apabila membaca sendiri berita-berita palsu dari internet ini yang ternyata bercanggah dengan fakta sebenar.

“Lebih membimbangkan, ramai pula percaya kepada berita-berita palsu ini lantas menyebarkannya kepada orang lain tanpa memeriksa kesahihan sesuatu berita itu.

“Suasana kini semakin mencabar apabila berita atau maklumat palsu itu ditulis secara kemas dan menarik serta mengandungi unsur-unsur logik yang disebarkan secara aktif melalui portal berita atau laman media sosial, sehingga ia dapat meyakinkan dan mempengaruhi masyarakat.

“Ia kemudian dikongsi dan diviralkan secara meluas. Jika keadaan ini berterusan dalam masyarakat, Beta bimbang rakyat akan terdedah kepada perpecahan sehingga boleh menghancurkan negara,” titah baginda.

Baginda juga khuatir sekiranya kegiatan tidak bermoral seperti fitnah ini terus menular, ia akan menjejaskan bukan sahaja kehidupan harian rakyat, malah pentadbiran sesebuah kerajaan.

“Sejarah membuktikan fitnah berupaya memusnahkan sebuah empayar besar dan menjatuhkan sebuah negara maju. Tuhan memberi kita akal yang waras untuk berfikir dan mempertimbangkan sesuatu perkara dengan sewajarnya, dan tidak mudah percaya dengan sogokan maklumat yang tidak benar,” titah baginda.

Baginda turut menekankan hukum fitnah dalam Islam adalah haram dan termasuk dalam dosa yang tidak mendapat keampunan Allah kecuali mereka memohon maaf kepada orang yang difitnah terlebih dahulu.

“Islam menghendaki umatnya menyelidik kebenaran setiap maklumat agar tidak menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan permusuhan kepada orang lain. Allah mencela tindakan umatnya yang terikut- ikut mempercayai, bahkan menyebarluaskan sesuatu khabar berita yang meragukan dan mendedahkan aib seseorang,” titah baginda. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *