KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa bimbang dengan pelbagai ancaman yang boleh mencemarkan kesucian dan kemuliaan agama Islam serta melemahkan umatnya khususnya di negeri ini dan juga negara.
Titah baginda, fahaman liberalisme yang memperjuangkan hak kesamarataan sehingga membawa budaya LGBT perlu ditangani segera dan berkesan supaya ia tidak menjadi satu ikutan serta trend yang pastinya akan merosakkan masyarakat Islam di negara ini.
“Penularan dan merebaknya ajaran-ajaran ini bukan suatu perkara kecil dan boleh diambil ringan. Apa yang lebih membimbangkan beta, sebahagian daripada mereka mengambil pendekatan ekstrim yang boleh menggugat keselamatan negara.
“Ancaman-ancaman sebegini merupakan api dalam sekam yang sedang memusnahkan Islam dan pengikutnya dari dalam,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-masjid di Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini hari ini. – Bernama
KOMEN